KUALA LUMPUR: Ada satu persoalan yang bermain dalam fikiran saya sebaik meninggalkan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada Sabtu lalu.
Selepas lebih tiga dekad menjadi antara figura paling penting dalam industri muzik Malaysia, apa lagi yang mahu dibuktikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza?
Populariti? Rasanya tidak.
Keupayaan vokal? Itu sudah lama selesai diperdebatkan.
Kekuatan jenama Siti Nurhaliza? Juga tidak perlu diperagakan lagi.
Namun pada malam hujung minggu lalu, ketika puluhan ribu manusia sanggup berhujan menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara, saya akhirnya menemukan jawapannya.
Pada usianya sudah mencecah 47 tahun dengan tiga dasawarsa pengalaman, Siti Nurhaliza bukan lagi sedang berusaha membuktikan dirinya. Beliau sedang berusaha membuktikan sesuatu tentang kita.
Tentang muzik kita. Tentang budaya kita. Tentang akar kita. Dan tentang sejauh mana sebuah bangsa sanggup mempertahankan bunyi yang membentuk identitinya.
Konsert yang bermula sekitar 8.30 malam itu berlangsung lebih tiga jam, dengan lebih 30 lagu dipersembahkan dalam sebuah produksi yang menggabungkan muzik tradisional dan moden, tarian, silat serta wayang kulit.
Dianggarkan sekitar 73,000 penonton (rekod yang dikeluarkan Perbadanan Stadium Malaysia) membanjiri stadium untuk menyaksikan pementasan tersebut, realitinya Gema Bumantara bukan sekadar sebuah konsert - ia sebuah pernyataan.
Cinta yang tidak berubah
Kesetiaan dan kecintaan Siti Nurhaliza terhadap muzik tradisional bukan kisah yang baru bermula pada malam itu.
Generasi yang mengikuti perjalanan seninya pasti memahami betapa lagu seperti Cindai, Balqis, Mahligai Permata, Kurik Kundi, Nirmala dan Joget Kasih Tak Sudah sudah lama membentuk satu sisi penting identiti muziknya.
Pada malam indah itu, sebahagian khazanah tersebut kembali menemukan rumahnya.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Mahligai Permata, Joget Kasih Tak Sudah, Musalmah Manis, Mohon Kasih, Hati Yang Rindu, Badarsila, Di Taman Teman, Walinong Sari, Bintang Malam, Jenjang Cinta, Masri Manis, Kurik Kundi, Cindai dan Ya Maulai.
Namun, jangan kita melihat pemilihan karya itu sekadar sebagai sebuah perjalanan nostalgia.
Perkara yang lebih signifikan ialah kesungguhan Siti Nurhaliza memberikan muzik tradisional sebuah pentas yang setara dengan kebesaran khazanah itu sendiri.
Gabungan Leman Band dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Istana Budaya memberikan dimensi tradisional dan moden kepada persembahan malam itu.
Kehadiran penari, busana, silat, visual serta wayang kulit pula membantu membentuk sebuah pengalaman budaya yang lebih menyeluruh.
Di sinilah saya melihat keberanian Gema Bumantara.
Siti Nurhaliza seolah-olah mahu bertanya: kalau muzik tradisional ialah akar kita, mengapa ia perlu dipersembahkan secara ala kadar?
Kalau muzik pop boleh diberikan segala kemewahan produksi, mengapa joget, zapin dan seluruh khazanah muzik Melayu tidak berhak menerima layanan yang sama?
Tradisi tidak semestinya kecil. Tradisi tidak semestinya kuno.
Dan tradisi tentunya tidak harus meminta maaf kerana mahu menjadi hebat.
Jiwa besar
Bagi saya, inilah antara kekuatan sebenar Gema Bumantara.
Siti Nurhaliza boleh sahaja memenuhi pentas sebesar itu seorang diri.
Beliau mempunyai katalog lagu, kemampuan, pengaruh dan nama yang cukup besar untuk melakukannya. Namun, beliau memilih untuk berkongsi pentas.
Dan keputusan itulah yang memperlihatkan kematangan seorang seniwati yang sudah tidak lagi melihat pentas hanya sebagai ruang untuk dirinya bersinar.
Sebelum konsert lagi, Siti Nurhaliza menjelaskan bahawa beliau mahu pejuang irama tradisional berada bersamanya.
Malah, beliau menjadi emosional ketika menceritakan mengapa Noraniza Idris perlu berada dalam Gema Bumantara.
Pada saya, itulah jiwa besar seorang Siti Nurhaliza.
Perjuangannya bukan lagi tentang “saya”, tetapi “kita”.
Kerana perjuangan memelihara dan memartabatkan warisan tidak boleh menjadi projek seorang manusia.
Ia harus menjadi sebuah gerakan.
Nusantara tanpa sempadan
Kehadiran Lesti Kejora dan King Nassar dari Indonesia membawa makna yang jauh melampaui status mereka sebagai artis jemputan.
Kedua-duanya berada dalam barisan tetamu Gema Bumantara bersama Noraniza Idris dan Haziq Rosebi.
Tetapi mereka juga mewakili sebuah gagasan yang lebih besar.
Nusantara tidak terhenti pada sempadan negara.
Malaysia dan Indonesia terpisah secara geopolitik, tetapi memiliki begitu banyak persamaan bahasa, bunyi, ritma dan akar kebudayaan.
Justeru, saya melihat undangan kepada Lesti dan King Nassar sebagai suatu bentuk diplomasi seni budaya.
Dalam hubungan masyarakat dua negara yang kadangkala mudah terusik oleh sentimen di ruang digital, seni menawarkan bahasa yang jauh lebih damai.
Tidak memerlukan pidato, jauh sekali meja rundingan.
Kadang-kadang sebuah lagu mampu menghubungkan manusia dengan lebih pantas daripada seribu kata.
Malah, ada satu persoalan yang sewajarnya kita fikirkan selepas Gema Bumantara.
Mengapa khazanah muzik Nusantara tidak boleh dipasarkan dengan lebih agresif ke pentas antarabangsa?
K-pop membuktikan identiti Korea boleh menjadi kekuatan eksport budaya. Muzik Latin pula tidak perlu meninggalkan bahasa dan identitinya untuk diterima dunia.
Mengapa Nusantara perlu meninggalkan jati dirinya untuk menjadi global?
Gema Bumantara mengingatkan kita bahawa mungkin selama ini masalahnya bukan kerana khazanah kita tidak cukup hebat.
Mungkin kita sendiri yang belum cukup yakin terhadap kehebatannya.
Obor generasi baharu
Di tengah-tengah nama besar yang memenuhi Gema Bumantara, ada seorang anak muda yang kehadirannya tidak harus dilihat sekadar untuk melengkapkan senarai artis undangan.
Haziq Rosebi.
Beliau diberikan ruang antaranya menerusi Hati Ke Hati, Zapin Bunga Hutan dan Bergendang Dang Gong.
Saya melihat kehadirannya sebagai simbol kesinambungan.
Tidak banyak ertinya jika generasi hari ini begitu bersungguh mempertahankan muzik tradisional tetapi kita gagal memastikan ada generasi seterusnya yang mahu menyambut obor itu.
Haziq ialah antara suara generasi baharu yang wajar diberikan perhatian.
Kerana perjuangan sebenar bukan memastikan irama tradisional hidup sepanjang hayat Siti Nurhaliza.
Perjuangan sebenar ialah memastikan muzik itu terus hidup selepas generasi Siti Nurhaliza.
Hati Kama kembali bersatu
Kemudian tibalah sebuah momen yang barangkali paling simbolik dalam keseluruhan Gema Bumantara.
Lebih dua dekad selepas album Seri Balas mempertemukan mereka, dua seniwati yang amat signifikan dalam perjalanan muzik tradisional Malaysia kembali berdiri bersama di sebuah pentas besar.
Sukar untuk tidak menjadi sentimental apabila Hati Kama bergema.
Kerana Hati Kama bukan sekadar sebuah lagu duet.
Ia membawa kita kembali kepada suatu zaman apabila irama Malaysia mampu berada dalam arus perdana dan lagu beridentiti tradisional tidak perlu berada di pinggir untuk diterima khalayak besar.
Malam itu, roh dan jiwa asal Hati Kama seperti kembali bersatu.
Namun, saya lebih tertarik kepada makna di sebalik keputusan Siti Nurhaliza membawa Noraniza kembali ke sisinya.
Menjadi hebat seorang diri ialah sebuah pencapaian, tetapi menjadi hebat sambil mengajak orang lain berdiri sama tinggi adalah kelas yang berbeza.
Itulah jiwa besar Siti Nurhaliza.
Noraniza sendiri menyifatkan peluang bersama Gema Bumantara sebagai antara detik paling indah dalam perjalanan seninya, sambil merujuk sambutan terhadap Hati Kama dan Dondang Dendang.
Mudah-mudahan pertemuan malam itu bukan noktah.
Biarlah ia menjadi koma kepada kelahiran lebih banyak mahakarya tradisional selepas ini.
Malaysia masih memerlukan Hati Kama yang baharu.
Mengenang sang guru
Ada insan yang telah pergi, tetapi karya mereka enggan mati.
Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah ialah salah seorang daripadanya.
Nama Pak Ngah tidak mungkin dipisahkan daripada perjalanan muzik tradisional Siti Nurhaliza, termasuk Hati Kama yang merupakan antara karya agung dan magis hasil sentuhannya.
Justeru, segmen penghargaan kepada Allahyarham Pak Ngah mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada nostalgia semata-mata.
Di sebalik seorang bintang besar bernama Siti Nurhaliza, ada insan lain yang mencipta, menyusun, membimbing dan membantu membentuk perjalanan panjang itu.
Begitu juga apabila jasa Allahyarham Datuk S. Atan dikenang.
Pada saya, di sinilah terletaknya soal adab dalam seni.
Seniman besar tidak melupakan mereka yang membantunya menjadi besar.
Dan dalam budaya Melayu, mengenang jasa bukan aksesori kepada kejayaan. Ia sebahagian daripada budi.
Kemudian hujan turun
Barangkali tidak ada siapa yang merancang babak itu.
Hujan turun ketika sebuah konsert tentang tanah, akar, budaya dan warisan sedang berlangsung.
Puluhan ribu manusia menyarung baju hujan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berada dalam kalangan hadirin, bersama-sama menyaksikan persembahan dalam hujan.
Dan penonton kekal.
Siti Nurhaliza sendiri menyifatkan pengalaman mengadakan konsert dalam hujan itu sebagai suatu sejarah buat dirinya dan penonton.
Entah mengapa, saya melihat hujan itu sebagai metafora yang cukup indah untuk Gema Bumantara.
Kerana mempertahankan tradisi juga begitu - ia tidak selalunya mudah. Kadang-kadang kita perlu terus berdiri walaupun basah.
Sekarang giliran kita.
Pada akhirnya, persoalan terbesar bukan lagi tentang apa yang boleh dilakukan Siti Nurhaliza.
Beliau sudah membawa muzik tradisional ke sebuah stadium mega.
Beliau sudah mempertemukan pemuzik, penari, generasi baharu, tokoh terdahulu serta seniman Malaysia dan Indonesia dalam sebuah pementasan berskala besar.
Jadi, apa lagi yang kita mahu beliau buktikan?
Sekarang pertanyaan itu harus berpatah balik kepada kita.
Apakah radio kita akan memberikan ruang lebih besar kepada muzik tradisional?
Apakah penerbit mahu terus menghasilkan karya baharu?
Apakah komposer muda mahu meneroka joget, zapin, inang dan bunyi-bunyian Nusantara?
Apakah penganjur berani melabur besar dalam produksi tradisional sebagaimana mereka melakukannya terhadap muzik pop?
Apakah institusi kebudayaan sanggup memastikan muzik warisan bukan sekadar diraikan pada acara tertentu?
Dan paling penting, adakah kita sebagai pendengar sanggup mendengar?
Kerana warisan tidak pupus semata-mata kerana masa berubah.
Warisan akan pupus apabila pewarisnya berhenti peduli.
Jangan biarkan gema itu berhenti
Saya pulang daripada Gema Bumantara dengan satu kesimpulan.
Siti Nurhaliza malam itu bukan sekadar menyanyikan lagu tradisional, jauh lebih utama yang harus diteliti ialah Biduanita Negara itu sedang membuat satu hujah besar tentang harga diri budaya.
Bahawa menjadi moden tidak bermakna kita perlu memutuskan hubungan dengan akar.
Bahawa muzik tradisional bukan muzik generasi tua.
Bahawa budaya Melayu dan Nusantara tidak harus sekadar dikeluarkan ketika sambutan rasmi, kemudian disimpan semula selepas acara berakhir.
Ia boleh mewah. Ia boleh kontemporari. Dan ia boleh memenuhi stadium.
Dengan keyakinan, pelaburan serta keberanian yang betul, ia juga berpotensi dibawa lebih jauh ke pentas dunia.
Siti Nurhaliza sudah melakukan bahagiannya. Noraniza menyambutnya, sementara Haziq menjadi petanda bahawa pelapis masih ada.
Lesti dan Nassar pula mengingatkan kita betapa luasnya keluarga Nusantara.
Dan puluhan ribu manusia yang tetap bertahan dalam hujan malam itu sekurang-kurangnya membuktikan satu perkara: khalayak besar untuk persembahan muzik tradisional itu wujud.
Sekarang giliran industri.
Giliran karyawan.
Giliran institusi budaya.
Dan sebenarnya, giliran kita semua.
Kerana setelah lampu Stadium Nasional dipadamkan dan gema terakhir muzik menghilang ke langit Bukit Jalil, perjuangan sebenar Gema Bumantara baru sahaja bermula.
Jangan biarkan ia tinggal sebagai sebuah konsert yang hebat.
Biarkan ia menjadi permulaan kepada sebuah gerakan.
Kerana muzik tradisional bukan sekadar bunyi dari masa lalu.
Ia adalah suara tentang siapa kita.