Skip to main content

Hiburan

Hafiz Hamidun lancar album baharu 'Salawat The Beloved' sempena 25 tahun dalam industri

Hafiz Hamidun
Menurut Hafiz (foto), album yang diterbitkan di bawah label Sony Music Malaysia itu sebenarnya telah siap sepenuhnya sebelum Ramadan lalu, namun beliau memilih untuk menunggu waktu yang paling sesuai untuk melancarkannya.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal Hafiz Hamidun tampil dengan album terbaharunya "Salawat The Beloved" yang menghimpunkan 10 karya selawat popular dengan susunan muzik lebih segar dan kontemporari.

Menurut Hafiz, 41, album yang diterbitkan di bawah label Sony Music Malaysia itu sebenarnya telah siap sepenuhnya sebelum Ramadan lalu, namun beliau memilih untuk menunggu waktu yang paling sesuai untuk melancarkannya.

"Album ini cukup istimewa buat Hafiz kerana hadir bersempena 25 tahun perjalanan seni saya dalam industri muzik.

“Alhamdulillah, tercapai juga hasrat untuk lancarkan album ini sempena Rabiulawal, sempena Maulidur Rasul,” katanya.

Album berkenaan memuatkan 10 karya termasuk Ishafa’ Lana, Salawat Badriyah, Cinta Rasul, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibril, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghil dan Ya Nabi Salam Alaik.

Dalam pada itu, Hafiz memastikan kesemua muzik video untuk album berkenaan telah siap dirakam dan akan dilancarkan secara berperingkat, satu karya setiap bulan, sekali gus memberikan kelainan berbanding karya terdahulu.

Bagi memberikan kelainan dari sudut visual, Hafiz memilih Uzbekistan sebagai antara lokasi utama penggambaran kerana negara itu menawarkan alam semula jadi dan bangunan bersejarah yang menepati konsep album, selain turut menjalankan penggambaran di Istanbul, Turkiye dan Al-Ula, Arab Saudi.

Mengakui kekangan masa menjadi antara cabaran sepanjang pembikinan album, Hafiz berkata dia perlu membahagikan masa antara kerjaya sebagai penyanyi, komposer dan penerbit, namun tetap memastikan tahap kesihatannya sentiasa berada pada keadaan terbaik.

“Kekangan masa itu saya tetap akan pastikan bahawa saya betul-betul sihat untuk bekerja.

"Saya harap 'Salawat The Beloved' bukan sekadar didengar ketika dilancarkan, sebaliknya mampu mengimbau kembali kenangan terhadap selawat yang pernah kita dengar sejak kecil serta menjadi karya yang boleh dikongsi bersama keluarga dan generasi akan datang," katanya.

Must Watch Video

Advertisement