Skip to main content

Hiburan

Kelibat Mark Wahlberg curi perhatian, jalani penggambaran Netflix di Pulau Pinang

Bintang Hollywood, Mark Wahlberg mencuri perhatian ramai selepas tular video memaparkan pelakon itu sedang menjalani penggambaran sebuah filem di Georgetown, Pulau Pinang. -- GEMPAK
Kehadiran pelakon berusia 55 tahun itu mengundang keterujaan netizen. -Gambar Gempak
Advertisement

BINTANG Hollywood, Mark Wahlberg, mencuri perhatian ramai selepas video memaparkan pelakon itu sedang menjalani penggambaran sebuah filem di George Town, Pulau Pinang tular di media sosial.

Menerusi video itu, Wahlberg dilihat melakonkan satu babak di dalam sebuah Perodua Kelisa berwarna perak sebelum keluar daripada kenderaan tersebut ketika proses penggambaran berlangsung di Lebuh Melayu.

Kehadiran pelakon berusia 55 tahun itu mengundang keterujaan netizen, apatah lagi apabila melihatnya menaiki kereta kompak ikonik keluaran tempatan.

"Mark Wahlberg tengah shooting filem Anak Mummy Kembali dekat Penang," seloroh seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi menambah, "Sheesh, minat betul dengan dia ini. Naik Kelisa wo."

Tumpuan peminat turut terarah kepada satu perkongsian di media sosial oleh seorang peniaga tempatan yang memaparkan sisi santai pelakon filem Transformers itu melayan masyarakat setempat ketika waktu rehat penggambaran.

"Mark Wahlberg pun duduk mai lepak kedai muruku kami, hampa bila lagi?" tulis pemilik gerai Penang Famous Muruku dalam hantaran tersebut.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran, mengesahkan sesi penggambaran berkenaan dijadualkan berlangsung di enam lokasi berbeza di sekitar negeri termasuk Lorong Kulit, Stadium Bandaraya, Stadium Batu Kawan dan Padang Macallum.

Wahlberg difahamkan berada di Malaysia selama dua minggu bagi menjayakan penggambaran filem terbaharu terbitan platform penstriman Netflix berjudul "The Big Fix".

Naskhah tersebut dilapor mengisahkan seorang pegawai Interpol yang mempunyai kaitan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum membongkar sindiket mengatur perlawanan di peringkat global sehingga mencetuskan siasatan berisiko tinggi.

Produksi Netflix itu menjalankan penggambaran utama di Sydney, Australia, manakala beberapa babak tambahan dirakam di beberapa negara termasuk Malaysia.

Selain Wahlberg, filem thriller berkenaan turut menampilkan pemenang Anugerah Akademi Britain Riz Ahmed, pelakon Singapura Chin Han serta pelakon kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nuha Jes Izman.

 

Must Watch Video

Advertisement