KUALA LUMPUR: Dunia sinematik tempatan oleh Astro Shaw terus dikembangkan menerusi pelancaran video terbaharu berjudul Kitab Kataha yang tampil dengan elemen misteri, magis dan pengalaman visual lebih imersif.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Kitab Kataha bakal memperkenalkan dimensi baharu dalam dunia Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), bermakna ia bukan satu bentuk sekuel.
"Sebelum ini, ASCU: The Beginning menampilkan penyatuan karakter ikonik dalam satu dunia sinematik seperti Inspektor Sani dan Inspektor Khai daripada francais Polis Evo, Kahar daripada High Council serta bayangan adiwira Keluang Man.
"Video pertama ASCU pada 29 Januari tahun ini menerima lebih 26 juta tontonan di platform media sosial selain mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan penonton.
"Kitab Kataha dijangka mencipta lebih banyak persoalan dan perdebatan sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu penonton tentang dunia ASCU," kata Jastina dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis selepas sedutan ASCU: Kitab Kataha dipertontonkan.
Video berdurasi satu minit 52 saat itu menerima sentuhan dua pengarah muda, Muhammad Shaffuan atau Mshaffuan serta Mohamad Sofian Abdullah atau Sofyank yang terkenal dengan penghasilan kandungan digital dan teknologi kesan khas (VFX).
"Kami melihat projek ini sebagai ruang eksperimen dan latihan untuk membawa kemampuan VFX tempatan ke tahap filem berskala lebih besar.
"Kami juga mencampurkan kesan praktikal dengan VFX bagi mendapatkan 'human touch' yang realistik di dalam filem," jelas Mshaffuan.
Selain itu, sinematografi ASCU: Kitab Kataha dikendalikan Nicholas Chin, pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34.
Seterusnya Astro Shaw turut menjalin kerjasama dengan Immersify Kuala Lumpur iaitu galeri seni interaktif dengan teknologi visual canggih bagi menawarkan pengalaman sinematik yang memukau peminat.
Difahamkan, filem pecah panggung Astro Shaw seperti Malam Terlarang dan Keluang Man akan diterapkan ke dalam Immersify Kuala Lumpur sebelum disusuli judul lain termasuk Polis Evo.