LOS ANGELES: Penyanyi terkenal antarabangsa, Lionel Richie, dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas mengadakan konsert di Missouri pada hujung minggu lalu.
Menurut laporan media hiburan TMZ, penyanyi berusia 77 tahun dan pemenang Anugerah Grammy itu meminta pasukannya membawa sebuah kerusi ke pentas ketika menamatkan persembahan pada Sabtu lalu menerusi lagu popularnya, All Night Long.
Tidak lama selepas konsert berakhir, Richie dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital sebagai langkah berjaga-jaga bagi menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan.
Beliau kemudian dirawat di ICU dan dilaporkan masih berada di hospital.
Bagaimanapun, TMZ melaporkan, Richie dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa, manakala persembahan seterusnya dalam siri jelajah Sing A Song All Night Long Tour dijadual berlangsung pada 26 September di San Francisco.
Ini bukan kali pertama penyanyi itu berdepan masalah kesihatan sepanjang jelajah berkenaan.
Pada penghujung Jun lalu, Richie terpaksa menangguhkan dua konsert selepas jatuh sakit ketika malam pertama jelajahnya.
Beliau kembali membuat persembahan pada 30 Jun dan sempat berseloroh dengan peminat mengenai keadaan yang dilaluinya.
"Anda tidak tahu apa yang saya lalui dalam tempoh 24 jam yang lalu, mendengar pelbagai nasihat daripada rakan-rakan mengenai apa yang patut saya lakukan," katanya ketika itu.
Dalam satu hantaran di Instagram selepas pulih, Richie turut mengucapkan penghargaan kepada para peminat atas sokongan yang diberikan.
"Terima kasih atas setiap mesej, setiap kata-kata yang baik dan segala kasih sayang yang anda berikan.
"Saya berada dalam keadaan baik dan amat menghargai sokongan anda semua," tulisnya.
Kemunculan semula Richie di pentas berlangsung ketika beliau terus menikmati populariti yang diperbaharui menerusi siri jelajah arena yang menerima sambutan hangat serta peranannya yang berterusan sebagai juri program realiti popular American Idol.
Lagu-lagu malar segarnya seperti Hello, All Night Long (All Night), Say You, Say Me dan Dancing On The Ceiling terus menjadi antara karya yang paling dinantikan peminat setiap kali beliau membuat persembahan secara langsung. - Agensi