KUALA LUMPUR: Cerita rakyat tidak semestinya kekal dalam bentuk asal untuk terus dekat dengan masyarakat.
Sebaliknya, kisah yang diwarisi turun-temurun boleh diberi nafas baharu menerusi pendekatan kreatif yang selari dengan perubahan zaman, tanpa menghilangkan nilai budaya dan kemanusiaan yang terkandung di dalamnya.
Prinsip itu menjadi landasan pengarah Nawfal Mohd Zamri, dalam menghasilkan Teater Muzikal Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 13 hingga 15 November ini.
“Saya percaya cerita rakyat masih relevan untuk teater muzikal kanak-kanak, tetapi pendekatan penceritaannya perlu disesuaikan dengan generasi hari ini.
“Unsur moden, jenaka, muzik dan pengajaran boleh menjadikan cerita lebih dekat dengan dunia mereka tanpa menghilangkan nilai kemanusiaan yang menjadi asasnya,” katanya.
Menerusi produksi itu, watak Sang Kancil dibawa ke dalam sebuah pengembaraan fantasi yang sarat warna dan imaginasi.
Namun, di sebalik kemeriahan persembahan, Nawfal memilih hubungan kekeluargaan sebagai nadi cerita, dengan kasih sayang antara ibu bapa dan anak menjadi antara nilai utama yang mahu disampaikan kepada penonton muda.
Keluarga teras pengembaraan Sang Kancil
Dalam tafsiran Nawfal, pengembaraan Sang Kancil bermula apabila keinginannya untuk meneroka dunia luar tidak mendapat persetujuan bapanya.
Kecewa dengan keadaan itu, Sang Kancil mengambil keputusan meninggalkan rumah sebelum tersesat di dalam hutan.
Sepanjang perjalanan, pertemuannya dengan pelbagai watak serta cabaran yang dihadapi mengubah pemahamannya tentang kehidupan.
Keinginan untuk meneroka dunia akhirnya membawa Sang Kancil kepada kesedaran mengenai nilai kasih sayang ibu bapa serta pentingnya keluarga yang ditinggalkan.
Bagi Nawfal, perkembangan dramatik itu memberi ruang untuk menyampaikan mesej kekeluargaan menerusi pengalaman watak tanpa menjadikan persembahan terlalu bersifat mengajar.
Sebagai individu yang amat mementingkan keluarga, beliau mahu kanak-kanak memahami bahawa pengalaman di luar rumah juga mampu mengajar seseorang untuk lebih menghargai hubungan yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Pendekatan itu memberikan dimensi emosi kepada cerita rakyat berkenaan, sekali gus menghubungkan perjalanan Sang Kancil dengan pengalaman kanak-kanak yang sedang membina pemahaman tentang kebebasan, tanggungjawab dan hubungan kekeluargaan.
Teater sebagai medium pendidikan, pembentukan diri
Selain sebagai hiburan, Nawfal melihat teater sebagai ruang pembelajaran yang mampu menyokong perkembangan emosi, sosial dan kreativiti kanak-kanak.
Proses latihan dan pementasan memberi peluang kepada mereka membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi, mengamalkan disiplin serta memahami kepentingan bekerja dalam satu pasukan.
Pengalaman itu turut membantu mereka mengenali potensi diri dan menghargai sumbangan orang lain dalam mencapai matlamat bersama.
“Berdasarkan pengalaman saya melatih dan mengarahkan kanak-kanak, setiap anak mempunyai potensi tersendiri yang boleh dikembangkan melalui bimbingan dan latihan berterusan.
“Bagi saya, kejayaan teater pendidikan bukan sekadar melahirkan pelakon berbakat, tetapi membentuk individu yang berani, berdisiplin dan mempunyai empati,” katanya.
Sejak memulakan penglibatan dalam industri teater pada 2006, Nawfal turut meneroka bidang pendidikan seni menerusi kelas drama untuk kanak-kanak, guru dan komuniti di pelbagai sekolah serta institusi pendidikan.
Pada 2010, pengarahan teater muzikal Living Forest yang menghimpunkan kanak-kanak dan individu dengan Sindrom Down berusia antara empat hingga 26 tahun menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Beliau turut mengarahkan adaptasi muzikal Oliver! yang melibatkan kanak-kanak jalanan di Kuala Lumpur.
Pengalaman tersebut memperlihatkan komitmennya menjadikan teater sebagai ruang penyertaan dan pembelajaran yang melangkaui penguasaan kemahiran persembahan, khususnya dalam membuka peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang mengembangkan potensi melalui seni.
Menterjemahkan imaginasi dalam dunia Rimba Raya
Dalam Pengembaraan Sang Kancil, dunia Rimba Raya dibangunkan sebagai alam fantasi merangkumi Hutan Ajaib, Perkampungan Kancil dan kawasan Raja Rimba.
Bagi Nawfal yang turut berpengalaman dalam reka bentuk set, prop dan pencahayaan, pembentukan dunia pentas merupakan sebahagian daripada strategi penceritaan.
Elemen visual bukan sekadar berfungsi sebagai latar, malah perlu menyokong perkembangan dramatik, membina suasana dan membantu penonton mengikuti perjalanan watak.
Produksi itu turut mengetengahkan motif batik Malaysia yang diinspirasikan daripada flora dan fauna tempatan, termasuk bunga raya, pucuk rebung, orkid serta tumbuh-tumbuhan hutan tropika.
Motif berkenaan diterapkan pada set, kostum, prop dan grafik pentas menerusi olahan kontemporari.
Pengarah Artistik, Irwan Ismadi Shahrim memainkan peranan dalam membentuk hala tuju visual produksi bagi memastikan identiti artistiknya selari dengan dunia fantasi serta keperluan penceritaan.
“Dari sudut pengarahan artistik, saya mahu membina dunia Rimba Raya yang menyatukan imaginasi, identiti budaya dan keperluan dramatik cerita.
“Setiap elemen termasuk reka bentuk pentas, kostum, prop dan grafik perlu berfungsi sebagai satu kesatuan visual yang membantu penonton mengikuti pengembaraan Sang Kancil, di samping mewujudkan pengalaman yang menarik dan dekat dengan dunia kanak-kanak.
“Dalam masa sama, saya melihat peluang untuk menggabungkan motif tradisional dengan pendekatan visual kontemporari supaya warisan budaya dapat terus berkembang dalam konteks persembahan hari ini.
“Saya mahu unsur estetika tempatan bukan sekadar menjadi hiasan, tetapi sebahagian daripada pengalaman penceritaan yang memperkenalkan identiti budaya kita kepada generasi muda melalui pendekatan yang segar, kreatif dan mudah didekati,” katanya.
Pendekatan itu memperlihatkan bagaimana unsur tradisional boleh diterapkan ke dalam produksi kontemporari tanpa sekadar mengulangi bentuk terdahulu.
Sebaliknya, estetika tempatan menjadi sebahagian daripada bahasa visual yang membentuk identiti persembahan, sekali gus memperkenalkan warisan budaya kepada generasi baharu.
Muzik sebagai penggerak dramatik
Muzik menjadi antara komponen utama Pengembaraan Sang Kancil, dengan hampir 60 peratus persembahan merangkumi lagu, muzik dan koreografi.
Sebanyak 16 lagu baharu ciptaan Pengarah Muzik, Ayop Azril akan dipersembahkan secara langsung dengan iringan 36 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan bahagian strings Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Kredibiliti Ayop dalam muzik persembahan turut terserlah menerusi pengiktirafannya sebagai Pengarah Muzik Terbaik pada Anugerah Seni BOH Cameronian ke-20 menerusi produksi Randai Macbeth.
Dalam muzikal itu, muzik bukan sekadar menjadi pengiring lakonan, malah
sebahagian daripada struktur dramatik yang membentuk emosi, memperkukuh konflik dan menggerakkan perkembangan cerita.
Gabungan lagu, ritma dan koreografi turut memperkayakan pengalaman persembahan, khususnya buat penonton muda yang berpeluang menikmati hubungan antara muzik, lakonan dan gerak tubuh secara langsung.
Bakat muda bergandingan dengan pelakon profesional
Pembangunan bakat kanak-kanak turut menjadi antara komponen penting produksi berkenaan.
Seramai 46 pelakon cilik dipilih menerusi sesi uji bakat pada Ogos lalu yang melibatkan 140 peserta berusia antara lapan hingga 12 tahun.
Mereka menjalani latihan intensif selama dua bulan bagi memperkukuh kemahiran lakonan, nyanyian, lontaran vokal dan keyakinan diri.
Watak Sang Kancil dibawakan Ahmad Zaid Ahmad Zaha, manakala Iedil Dzuhrie Alaudin memegang watak Bapa Kancil.
Asmidar pula membawakan watak Ibu Kancil, sementara Khir Rahman memainkan watak Raja Rimba.
Watak antagonis Taring, seekor harimau yang menjadi pencabar utama dalam pengembaraan Sang Kancil, pula dimainkan Taqim Zaki.
Bakat Taqim dalam pementasan muzikal semakin menyerlah menerusi penglibatannya dalam Paduka Cik Siti (2025) arahan Che Kem yang turut menampilkan Asmidar.
Beliau juga terbabit dalam Muzikal Raja Lumu, selain menerima pujian daripada wartawan dan pengkritik teater menerusi persembahannya dalam Muzikal Mansur dan Liu arahan Datuk M. Nasir.
Gabungan pelakon profesional dan pelakon cilik memberi ruang kepada bakat muda menimba pengalaman dalam sebuah produksi muzikal yang menghimpunkan pelbagai disiplin seni.
Proses latihan turut menuntut komitmen, ketekunan dan keupayaan bekerja dalam pasukan, sekali gus memperkukuh nilai pendidikan yang menjadi sebahagian daripada pendekatan Nawfal.
Pengalaman merentas bidang seni
Sepanjang penglibatannya dalam industri, Nawfal membina pengalaman merangkumi pengarahan, reka bentuk produksi dan pendidikan seni.
Antara pengiktirafan profesional yang diterimanya ialah anugerah Best Cinematographer pada Festival Teater Malaysia 2018 menerusi produksi Mat Dereh Kuala Perlih, selain Best Director dalam pertandingan KARVITER di Universiti Malaya.
Kepakarannya dalam reka bentuk set dan visual turut mendapat pengiktirafan apabila memenangi kategori Best Set and Visual Design pada BOH Cameronian Arts Awards 2023 menerusi teater LISTEN, sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2025 menerusi produksi Love Is a Motion Picture.
Penglibatannya dalam kegiatan seni persembahan di Yogyakarta, Indonesia dan Adelaide, Australia turut memperluas pengalaman artistiknya.
Kini, Nawfal berkhidmat sebagai Karyawan Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain meneruskan penglibatan dalam pengarahan dan pendidikan seni.
Pengalaman merentas bidang itu membentuk pendekatan Nawfal yang menggabungkan pembinaan cerita, reka bentuk visual serta keperluan khalayak.
Dalam Pengembaraan Sang Kancil, pendekatan berkenaan diterjemahkan menerusi sebuah persembahan untuk seisi keluarga, sambil membuka ruang kepada generasi muda mengenali teater dan warisan cerita rakyat.
Mempertemukan warisan dengan generasi baharu
Menurut Pengarah Produksi, Hanida Mohamed Yusof, menerusi Muzikal Pengembaraan Sang Kancil, Istana Budaya menghimpunkan skrip tulisan Siti Jasmina Ibrahim, pengarahan Nawfal, pengarahan artistik Irwan serta pengarahan muzik Ayop dalam sebuah penceritaan yang menyatukan fantasi, muzik dan estetika tempatan.
Hubungan kekeluargaan menjadi penggerak emosi yang menghubungkan perjalanan Sang Kancil dengan persoalan kehidupan yang dekat dengan penonton muda.
Pendekatan tersebut memperlihatkan cerita rakyat mampu terus berkembang apabila ditafsirkan menerusi bahasa seni yang sesuai dengan perubahan zaman.
Warisan bukan sahaja dapat diperkenalkan melalui penceritaan semula, malah berpeluang diberi makna baharu apabila dihubungkan dengan pengalaman serta nilai yang dekat dengan generasi semasa.
- Teater Muzikal Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 13 hingga 15 November 2026.
- Empat persembahan dijadualkan berlangsung iaitu pada 13 November, jam 8.30 malam; 14 November, jam 2.30 petang dan 8.30 malam; serta 15 November, jam 2.30 petang.
- Tiket boleh didapati menerusi platform CloudJoi.