Skip to main content

Hiburan

Pelakon ‘Breaking Bad’ RJ Mitte meninggal dunia pada usia 34 tahun

RJ Mitte pada satu sesi fotografi mempromosi filem 'Time Share, di Music Lodge ketika Festival FIlem Sundance, di Park City, Utah, 20 Jan 2018. - Gambar fail/AP
RJ Mitte pada satu sesi fotografi mempromosi filem 'Time Share, di Music Lodge ketika Festival FIlem Sundance, di Park City, Utah, 20 Jan 2018. - Gambar fail/AP

Advertisement

BROWNSVILLE, TEXAS: RJ Mitte, pelakon yang dikenali menerusi wataknya dalam siri televisyen pemenang Anugerah Emmy, Breaking Bad, meninggal dunia pada usia 34 tahun.

Menurut jurucakap Pejabat Hakim Keamanan Cyndi Hinojosa di Brownsville, Texas, Mitte meninggal dunia pada Isnin, manakala punca kematiannya masih dalam siasatan.

Jabatan Polis Brownsville memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar tengah hari waktu tempatan pada Isnin. Ketika anggota polis tiba di lokasi, Mitte telah disahkan meninggal dunia.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi wakil keluarganya, keluarga Mitte mengesahkan pemergian pelakon itu sambil mengenang sumbangannya dalam kerja-kerja kebajikan sebagai duta kepada United Cerebral Palsy dan Shriners Children's menerusi The Mitte Foundation.

Keluarganya turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha beliau menggunakan platformnya untuk mencabar stereotaip dan memperjuangkan perwakilan yang lebih luas bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Mitte yang hidup dengan cerebral palsy memegang watak Walter White Jr., anak kepada watak Walter White lakonan Bryan Cranston, sepanjang lima musim Breaking Bad yang disiarkan di AMC dari 2008 hingga 2013.

Siri terbabit meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan sepanjang siarannya, termasuk anugerah pelakon ensemble terbaik yang ketika itu dikenali sebagai Screen Actors Guild (SAG) Award.

Mula berlakon pada usia muda

Dilahirkan di Lafayette, Louisiana pada 1992, Mitte berpindah ke Hollywood bersama keluarganya ketika berusia 14 tahun bagi menyokong kerjaya adiknya selepas ditemui ejen bakat ketika masih kecil di Houston, Texas.

Dia memulakan kerjaya dengan muncul sebagai pelakon tambahan dalam beberapa siri televisyen termasuk Everybody Hates Chris dan 7th Heaven.

Menurut rekod IMDb, antara penampilan awalnya ialah watak pelajar atlet tanpa kredit dalam siri popular Hannah Montana pada 2007.

Dalam satu temu bual podcast awal bulan ini, Mitte mendedahkan uji bakat pertamanya adalah untuk iklan khidmat masyarakat anti-methamphetamine di California.

Dia mengakui situasi itu agak ironi memandangkan kejayaan besarnya datang menerusi Breaking Bad, sebuah siri mengenai guru sekolah menengah yang terlibat dalam penghasilan dan penjualan methamphetamine.

Mengenang penglibatannya dalam siri itu ketika usia remaja, Mitte berkata mereka ketika itu tidak menyedari impak besar yang bakal ditinggalkan oleh rancangan berkenaan.

Menurutnya, bidang lakonan bukanlah perancangan asal hidupnya, namun di situlah beliau menemui minat dan kesungguhan sebenar.

Minggu lalu, Mitte turut berkongsi petikan wawancara podcast tersebut di Instagram, termasuk pandangannya bahawa kisah wataknya dalam keluarga White masih mempunyai banyak persoalan yang belum terjawab.

"Saya rasa masih banyak persoalan yang tidak pernah terjawab dan mungkin tidak akan pernah terjawab. Saya fikir masih ada banyak lagi cerita yang boleh diterokai mengenai keluarga White," katanya.

Mitte juga pernah menyatakan hasrat untuk mencapai kejayaan yang melebihi pencapaiannya dalam Breaking Bad.

Perjuang hak OKU

Pada 2021, Mitte membintangi filem Triumph yang diangkat daripada kisah benar seorang pelajar sekolah menengah yang menghidap cerebral palsy dan bercita-cita menyertai pasukan gusti sekolahnya.

Ketika mempromosikan filem itu, Mitte berkata, pengalaman tersebut dekat dengan kehidupannya sendiri.

"Apabila seseorang mempunyai kecacatan, sering timbul andaian bahawa mereka lebih lemah, lebih perlahan atau terlalu rapuh.

"Semasa saya membesar dengan cerebral palsy, ramai yang mengatakan saya tidak akan dapat berjalan dengan baik, tidak akan bercakap dengan baik dan tidak akan mempunyai kehidupan atau kerjaya yang normal," katanya.

Namun, keluarganya sentiasa percaya beliau mampu mencapai apa sahaja yang diimpikan.

Mitte sebelum ini turut memberitahu Able Magazine bahawa banyak peluang lakonan yang ditawarkan kepadanya berkait rapat dengan keadaan fizikal yang dihadapinya.

Menurutnya, golongan OKU mahu melihat diri mereka diwakili secara tepat di televisyen dan filem, sambil memastikan karya yang dihasilkan terus menghiburkan penonton.

Selain Breaking Bad, dia turut memegang watak berulang dalam siri Switched at Birth dan baru-baru ini membintangi filem Westhampton bersama pelakon Finn Wittrock. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement