PELAKON, pengarah dan seniman terkenal, Sabri Yunus melakar satu lagi perjalanan bermakna dalam hidupnya apabila menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada usia 65 tahun.
Beliau yang berkongsi kisah itu menerusi hantaran di Facebook berkata, perjalanan tersebut mengimbau kembali kenangan ketika beliau menuntut di Institut Pendidikan (IP), Kota Bharu pada 1981.
Menurutnya, selepas lebih empat dekad, beliau akhirnya kembali ke dunia pengajian tinggi, namun kali ini di sebuah universiti pendidikan yang jauh berbeza daripada institusi yang pernah dilaluinya ketika muda.
"Alhamdulillah, dari IP bawah tangga stadium Kota Bharu ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, akhirnya 1981 di IP dan 2026 di UPSI," katanya.
Sabri turut berkongsi cerita bahawa beliau tidak pernah melihat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diperolehnya kerana ketika itu mempunyai tunggakan bayaran bulanan sebanyak RM180.
Katanya, bayaran bulanan sebanyak RM36 yang diberikan bapanya tidak dibayar selama lima bulan kerana wang tersebut banyak dihabiskan untuk menonton wayang di beberapa pawagam di Kota Bharu termasuk Lido, Rex dan Odeon.
Beliau memberitahu, apabila keputusan STPM diumumkan, bapanya memberikan RM180 untuk beliau mengambil keputusan berkenaan kerana mahu mengetahui sama ada lulus atau sebaliknya.
"Depan bilik guru aku berdiri tengok orang keluar masuk, aku genggam duit dalam poket seluar dan kepala fikir, nak ambil atau tidak.
"Kalau keputusan tak bagus, tak lulus, terbang RM180 duit ayah, jadi aku buat keputusan tak ambil,"ujarnya.
Sabri berkata, beliau kemudian memulangkan wang tersebut kepada bapanya dan memberitahu bahawa beliau merasakan dirinya tidak lulus.
"Ayah diam, masa itu kalau dapat 3 P( Principal) sudah layak ke universiti.
"Bila kawan ayah tanya keputusan aku, belum sempat aku jawab, ayah jawab dulu dapat 3 P (pembohong, pemalas, pemonteng). Aku diam namun selepas itu aku cuba sambung belajar untuk ayah dan mek," ulasnya.
Sekitar 1980-an ketika beliau mula bekerja sebagai artis susun atur di Majalah Dewan Sastera, beliau pernah mendapat bantuan daripada Sutung Umar RS untuk menyambung pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketika itu, Sabri bercadang mengambil bidang Seni Lukis dan Seni Reka.
Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian selepas pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak dapat memberikan cuti bergaji, manakala beliau tidak mampu mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh pengajian.
Kira-kira dua tahun kemudian, beliau sekali lagi berpeluang melanjutkan pengajian.
"Aku bagi 'talk' pasal teater di Kuala Terengganu iaitu program diatur Wan Ahmad Ismail, aku dari DBP bersama Zakaria Ariffin, Dr Samad Salleh USM dan Dr Zainal Latiff USM.
"Lepas aku bagi talk, masa minum Dr Zainal Latiff, good talk dan dia suruh aku belajar di USM dia akan bantu. DBP tak bagi cuti bergaji dan aku tak berani ambil risiko," ujarnya.
Sabri berkata, tiga peluang pendidikan yang dilaluinya itu masing-masing menawarkan bidang berbeza iaitu seni lukis dan seni reka, seni lakon serta kali ini seni sastera, namun ketiga-tiganya mempunyai satu persamaan iaitu bidang yang diminatinya.
Menurutnya, tawaran daripada UPSI kali ini diterima dengan hati terbuka kerana beliau tidak lagi terikat dengan keperluan mendapatkan cuti daripada mana-mana pihak.
"Dalam usia macam ini dan aku tidak terikat, aku tak perlu minta cuti daripada mana-mana pihak. Aku terima tawaran dengan sangat senang hati dan bersemangat. Semangat untuk anak-anak," katanya.
Lebih menyentuh perasaan, Sabri berkata, bapanya sudah lama meninggal dunia dan tidak sempat mengetahui perkembangan terbaharu dalam hidupnya itu, namun beliau sempat berkongsi berita tersebut dengan ibunya atau Mek kira-kira sebulan sebelum wanita itu meninggal dunia pada 5 Ogos lalu.
"Sebulan sebelum Mek meninggal 5 haribulan 8 lalu, aku sempat bisikkan yang aku akan sambung belajar. Terima kasih UPSI. Dalam usia 65 (bulan depan) aku jadi Anak Kandung Sulung Budiman kini," ulasnya. -- Sinar Harian