Ringkasan AI
- Syed Saddiq menegaskan tanggungjawabnya mempertahankan isterinya, Bella Astillah, daripada tanggapan negatif adalah sebagai seorang suami.
- Bella menyatakan rasa terharu atas sokongan suaminya dan menegaskan sudah terbiasa menghadapi pandangan masyarakat sebagai selebriti.
- Syed Saddiq menolak dakwaan Bella memerlukan penyelamat, menyifatkan isterinya sebagai wanita berdikari dan tabah membesarkan dua anaknya.
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tindakannya mempertahankan isteri, Bella Astillah daripada tanggapan negatif segelintir pihak ketika berucap pada majlis resepsi mereka malam tadi merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Menurut Syed Saddiq, dia memilih untuk bersuara selepas wujud dakwaan yang mempersoalkan keserasian dan kedudukan mereka sebagai pasangan, termasuk tanggapan kononnya mereka tidak sekufu.
“Sudah tentu itu tanggungjawab saya sebagai suami. Pada masa sama, bukannya saya cakap benda yang tak betul. Itu fakta dan kebenaran.
“Walaupun kadangkala kita memilih untuk berdiam diri kerana tiada keperluan untuk memberi respons terhadap semua perkara, tetapi apabila saya ada peluang dan platform yang bersesuaian, saya akan respons.
“Itu tanggungjawab saya sebagai suami untuk membantu dalam apa juga cara yang saya boleh,” katanya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui selepas majlis resepsi perkahwinannya bersama Bella di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam tadi.
Ditanya sama ada dia terkilan dengan kecaman terhadap isterinya, Syed Saddiq berkata dia tidak mengambil perkara tersebut secara peribadi, sebaliknya lebih mengutamakan kebahagiaan Bella.
“Saya tak ambil perkara itu secara peribadi, cuma saya nak pastikan isteri saya gembira.
“Banyak perkara yang dibangkitkan bukan benda baharu, malah sudah berbulan-bulan sejak tahun lalu.
“Kadangkala isteri tak perlu pun memberi respons. Ada masanya berdiam diri adalah jawapan terbaik, tetapi ada ketika saya sendiri perlu tampil mempertahankan isteri,” ujarnya.
Sementara itu, Bella mengakui terharu dengan ucapan suaminya kerana tidak mengetahui lebih awal mengenai perkara yang bakal disampaikan di hadapan tetamu.
Menurut penyanyi itu, dia tidak pernah meminta Syed Saddiq mempertahankannya secara terbuka kerana sudah terbiasa berdepan pelbagai pandangan masyarakat sepanjang bergelar selebriti.
“Saya memang tak tahu sebab dia tak beritahu apa ucapan yang nak diberikan.
“Saya rasa sangat terharu sebab lega ada orang yang sayang saya dan anak-anak dengan ikhlas serta mempertahankan saya. Itu sebenarnya jauh lebih cukup.
“Saya tak pernah terfikir atau meminta YB untuk keluarkan kenyataan atau pertahankan saya sebab saya rasa ini lumrah sebagai selebriti,” katanya.
Tambah Bella, dia memahami tindakan suaminya itu dilakukan kerana tidak mahu melihat dirinya bersedih.
“Saya faham dia tak nak saya sedih. Saya sangat gembira dan berterima kasih untuk itu. Alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menolak tanggapan bahawa Bella memerlukan seseorang untuk menyelamatkannya daripada kesukaran hidup.
Sebaliknya, dia menyifatkan isterinya sebagai wanita berdikari dan tabah yang sudah membuktikan kemampuan membesarkan dua anaknya dengan baik.
“Tanggapan yang Bella perlukan pertolongan atau diselamatkan adalah tidak benar.
“Realitinya saya tidak menyelamatkan Bella, Bella yang menyelamatkan dirinya sendiri. Dia sangat berdikari, kuat dan tabah.
“Tanpa saya pun dia berjaya membahagiakan dua anaknya dan memberikan pendidikan terbaik. Kalian sendiri dengar bagaimana Ayden berucap dengan begitu petah, itu semua hasil didikan Bella.
“Dia tak perlukan penyelamat kerana Bella boleh menjaga dirinya sendiri. Saya hanya tambahan, pelengkap kepada perasa,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella diraikan dalam majlis resepsi meriah yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu di MITEC, malam tadi.
Pasangan itu selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu dalam majlis akad nikah di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur. -- Gempak