KUALA LUMPUR: Program khas Usrah Non Stop sempena sambutan ulang tahun ke-9 ZAYAN mencatat pencapaian memberangsangkan apabila meraih lebih 2.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam.
Program yang berlangsung tanpa henti bermula 5 Oktober hingga 6 Oktober itu membuktikan kandungan berteraskan gaya hidup Muslim terus mendapat perhatian masyarakat, khususnya menerusi platform digital.
Prestasi program itu turut disokong oleh pencapaian di media sosial apabila platform TikTok merekodkan 1.5 juta tontonan, manakala kandungan berkaitan program di Instagram menerima 72,000 tontonan.
Bagi menjayakan program berkenaan, ZAYAN menghimpunkan seramai 23 asatizah dan tokoh agama tanah air yang berkongsi ilmu, inspirasi serta panduan kehidupan kepada pendengar dan penonton sepanjang siaran berlangsung.
Antara topik yang diketengahkan termasuk kekeluargaan, pembangunan diri, kesihatan mental, ibadah, pengukuhan hubungan sesama insan serta cabaran kehidupan moden dari perspektif Islam.
Menurut Pengurus Jenama ZAYAN, Zureen Affendi, pencapaian tersebut merupakan hasil sokongan padu daripada para pendengar, penonton serta semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.
"Kami amat bersyukur kerana Usrah Non Stop sempena ulang tahun ke-9 ZAYAN menerima sambutan yang begitu luar biasa daripada masyarakat. Pencapaian lebih 2.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam menunjukkan bahawa kandungan yang memberi manfaat, mendidik dan menginspirasikan masih mendapat tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia"
"Lebih membanggakan apabila kami berjaya menghimpunkan seramai 23 asatizah untuk berkongsi ilmu dan pandangan sepanjang program berlangsung. Setiap pengisian yang dibawakan bukan sahaja memberi inspirasi, malah berjaya membentuk ruang perkongsian ilmu yang positif dan bermakna kepada audiens di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sokongan yang diterima menjadi pemangkin kepada ZAYAN untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti yang relevan dengan keperluan masyarakat, selain memperkukuh peranannya sebagai platform gaya hidup Muslim yang memberi impak positif kepada komuniti.
Kejayaan Usrah Non Stop juga dilihat mencerminkan kekuatan jenama ZAYAN selepas sembilan tahun berada di udara, di samping membuktikan kandungan berasaskan ilmu dan nilai Islam mampu menarik perhatian audiens digital dalam skala besar apabila disampaikan secara kreatif serta relevan.
ZAYAN merupakan salah satu daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio dan dikenali sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang memfokuskan kepada lagu-lagu nasyid serta ketuhanan.
Dengan lebih sejuta pengikut di media sosial, ZAYAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik berteraskan konsep "Destinasi Nasyid Anda", yang boleh diakses melalui frekuensi radio, platform media sosial rasmi serta aplikasi mudah alih ZAYAN.