Kempen Negaraku 2014 Astro memberi fokus kepada keunikan sebagai rakyat Malaysia yang disampaikan melalui tema, “Semangat Perpaduan Mengalir dalam Diri Kita”

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, ia termasuk kempen derma darah di Kuching, Sarawak yang berlangsung pada 16 September.

"Kempen derma darah #kitasama ini akan menuju ke hentian terakhirnya, Plaza Merdeka, Kuching pada 16 September bermula 10.00 pagi hingga 7.00 malam.

"Orang ramai dijemput menderma darah kepada mereka yang lebih memerlukannya. Kedua-dua kempen derma darah #kitasama dan kempen Negaraku akan berlangsung dari 15 Ogos 2014 hingga 16 September 2014," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Henry, acara utama dalam kempen itu ialah kempen derma darah #kitasama yang menekankan perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira kepelbagaian dari segi budaya, bahasa dan bangsa.

"Astro akan meraikan perpaduan dan kepelbagaian negara Malaysia melalui siaran lebih daripada 140 program yang merangkumi 48 tajuk baru.

"Pada masa yang sama, kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk berkongsi dengan kami detik-detik kemerdekaan mereka dengan menggunakan hashtag #kitasama di media sosial," jelasnya.

Tambahnya, kempen ini juga disokong oleh sekumpulan artis yang boleh meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kempen berkenaan.

"Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan lebih banyak rakyat Malaysia untuk menjadi penderma darah.

"Bakat-bakat dan artis Astro telah meluangkan masa untuk menyertai kempen derma darah #kitasama pertama yang telah diadakan di ibu pejabat Astro, Bukit Jalil pada 12 Ogos 2014," katanya.

Dalam pada itu, wakil Astro ARENA, Asmawi Bakiri berharap kempen itu mendapat sokongan ramai.

"Saya berharap bahawa kami dapat membantu kehidupan orang lain dan menghimpunkan orang ramai untuk membantu sesama rakyat Malaysia yang memerlukan darah." jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Darah Negara, Datuk Dr Faraizah Abd Karim berkata, pihaknya berterima kasih kepada Astro di atas jemputan menjadi sebahagian daripada kempen derma darah #kitasama.

Selain Kuching kata Henry, kempen derma darah ini juga diadakan di 6 negeri yang lain termasuk Malaysia Timur untuk menggalakkan rakyat Malaysia menderma darah kepada Pusat Darah Negara Malaysia.

Jelasnya, penonton boleh melayari www.astro.com.my/Negaraku untuk mendapatkan jadual rancangan kempen Negaraku dan juga maklumat lokasi kempen derma darah #kitasama.