Kalis peluru dan bekalan darah antara ciri The Beast

Tan Su Lin
April 26, 2014 14:39 MYT
Kenderaan khas presiden Amerika Syarikat 'The Beast'
Lebih dikenali sebagai "The Beast", Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menaiki kenderaan rasminya sepanjang lawatan ke Malaysia iaitu Cadillac One.
Buatan General Motors keluaran 2009, kenderaan itu mempunyai spesifikasi sangat khusus untuk keselamatan presiden itu, juga mempunyai ciri-ciri seolah-olah sebuah kereta kebal.
Sepanjang lima meter dan berat lapan tan, "The Beast" dilengkapi pintu kalis peluru setebal 20 cm. Badannya cukup kukuh diperbuat daripada besi keluli, titanium dan seramik.
Tayarnya juga kalis bocor dan kerangka kalis letupan melindunginya daripada sebarang bom jalanan. Malah tangki minyak juga diperbuat daripada bahan kalis letupan.
Selain itu, The Beast turut dilengkapi senapang "shot-gun" dan kamera penglihatan malam.
The Beast dilihat meninggalkan Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.
Ia juga memiliki persediaan oksigen sendiri dan bekalan darah yang sama jenis dengan presiden sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Kenderaan itu boleh memuatkan maksimum 7 orang, termasuk presiden.
The Beast, kereta rasmi Obama disifatkan sebagai kenderaan perlindungan yang paling canggih di dunia.
The Beast dilihat menyusuri laluan menuju ke ibu kota dan parlimen pada Sabtu.
#Air Force One #Amerika Syarikat #Presiden Barack Obama #The Beast