Tumpuan media arus perdana untuk sukan sepanjang minggu ini, sudah pasti Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) KBS 2012 yang berlangsung dengan jayanya pada 19 Febuari lalu di Petaling Jaya.

Berbeza dengan anugerah sukan lain, anugerah ini bukan saja memberi penghargaan kepada atlet tetapi juga warga penulis sukan menerusi Anugerah Kewartawan Sukan SAM-KBS 2012.

Pujian buat pucuk pimpinan SAM, diketuai presidennya Ahmad Khawari Isa yang berjaya menghidupkan semula anugerah ini sejak penganjuran edisi 2010.

Saingan kali kali jelas sengit dengan 247 penyertaan, bagi merebut enam kategori yang dipertandingkan; Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Sukan Terbaik (Media Cetak), Ulasan Sukan Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Sukan Terbaik (Media Elektronik) dan Laporan Khas Terbaik (Media Cetak dan Elektronik).

Antara media arus perdana yang bersaing ialah Astro Awani, Astro Arena, RTM, TV3, The Star, NST, Malay Mail dan juga Utusan Malaysia.

Saya bersyukur, apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik) menerusi laporan saya, "Tiada Penyelengaraan di Sekolah Sukan Tunku Ismail Bandar Penawar" yang disiarkan pada Julai tahun lalu.

Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil kerjasama sepasukan di Astro Awani khususnya kerjasama antara meja sukan pimpinan saya dan juga Editor Digital Media, Astro Awani, Haresh Deol.

Astro Awani adalah satu-satunya media arus perdana yang melaporkan mengenai kepincangan kemudahan dan prasarana di SSTMI dan saya percaya, ia berjaya meyakinan juri-juri profesional yang dilantik SAM untuk anugerah kali ini.

Meja sukan Astro Awani sebenarnya mempunyai sejarah penyertaan yang baik bagi Anugerah SAM, ia bermula dengan kemenangan mengejutkan wartawan saya, Zulhelmi Zainal Azam pada 2010 untuk Anugerah Laporan Khas Terbaik dan Anugerah Utama Kewartawanan Sukan.

Bagi edisi 2011 tahun lalu, saya berjaya memenangi Anugerah Ulasan Sukan Terbaik menerusi laporan Revolusi Pengurusan KAFA sebelum memenangi Laporan Berita Terbaik 2012.

Secara keseluruhan, Astro Awani adalah media elektronik tunggal selain RTM, untuk memenangi sekurang-kurangnya satu anugerah pada Anugerah SAM sejak edisi 2010.

Pada tahun ini juga, Zulhelmi dan seorang lagi wartawan saya, Syamil Izwan Azizan turut berada dalam senarai akhir bagi kategori Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Sukan terbaik (Media Elektronik) dan Laporan khas Terbaik (Media Cetak dan Elektronik).

Saya percaya, kejayaan mereka ke pentas akhir juga adalah satu kejayaan, kerana seperti saya katakan di awal tadi, saingan kali ini memang cukup sengit dengan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah anugerah ini yang membabitkan semua media arus perdana.

Syabas juga buat Pandelela Rinong yang dinobatkan sebagai Atlet Terbaik anugerah kali ini, manakala pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pula meraih Anugerah Outdo Yourself.

Atlet remaja terbaik pula dimenangi pemanah, Haziq Kamaruddin, Persatuan Raket Skuasy Malaysia SRAM pula memnangi anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan atlet lumba basikal, Fauzan Lutfi memenangi Anugerah Comeback Athelete.

Selaku ahli SAM, saya berharap kejayaan penganjuran anugerah kali ini, akan menjadi pemangkin kepada perkembangan penganjurannya di masa depan.