HARI ini, dua tahun lalu, pancaindera dunia terpaku, terkejut namakan apa sahaja reaksi, dengan kuasa mega dari dalam lautan, yang selama ini ceritanya hanya berlegar tentang ikan, rezeki dan nelayan. Namun hari itu, dua tahun lalu, ombak tsunami namanya, menelan apa sahaja yang ada di sepanjang laluannya. Semuanya , zat dan zarah, bot, kapal dan manusia bergulung dalam keadaan cukup mengerikan bersama sampah sarap yang dibawa ombak tsunami. Senario itu, berlaku di Jepun, sebuah negara canggih lagi moden, yang penuh dengan tenaga pakar dan bijak akalnya.

Reaksi dunia kemudiannya, apabila hampir 19,900 nyawa hilang, bukan sahaja kerana ditelan tsunami, tetapi lebih lara daripada itu digugat gempa bumi dan disedut kepulan nuklear : Ayuh, segera bantu negara matahari terbit itu. Lalu, bergerak daripada rasa kasihan dan simpati, bantuan segera dihantar dengan sepatutnya iaitu makanan, minuman, ubat-ubatan dan keperluan melindungi daripada panas dan sejuk.

Memorial sempena ulangtahun kedua tsunami di Jepun

Baik. Itu cerita dua tahun lalu. Jadi apa kisah terkini, khususnya di kawasan pesisir pantai yang teruk terjejas angkara tsunami pada petang 11 Mac 2011 itu? Sebagai contoh dalam wilayah Tohuku di mana letaknya Iwate, utara Jepun. Di sebuah bandar di Iwate, iaitu Rikuzentakata, 8,000 buah rumah dihanyut ombak tsunami sejauh 4 kilometer semasa tarikh nestapa itu. Benar, ada penempatan sementara dibina bagi mereka yang hilang rumah dan sebagainya, tetapi kalau namanya sementara, penduduk sudah pasti tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bantuan itu. Lebih buruk jika usia semakin senja, duduk pula sebatang kara, daripada sementara, lebih baik hayat tiada selamanya.

Selepas dua tahun, masih adakah tsunami bantuan kepada mangsa-mangsa yang berdenyut hidup mengenang penuh trauma orang kesayangan mereka pulang ke kampung akhirat? Jujur sahaja, bantuan sudah hampir tiada. Malah, kalau dikatakan tiada sekali pun, barangkali tidak salah. Tidak usah menipu, kalau ingat sekalipun tentang tsunami di Jepun, itu kerana masanya semakin hampir dengan ulang tahun peristiwa berkenaan dan kita seolah-olah terpaksa mengingat semula tragedi sulit terbabit.

Mengingati mangsa tragedi tsunami Jepun

Malaysia, antara negara paling awal menghantar bantuan ke Jepun pasca tsunami. Cerita bantuan Malaysia sebaik Jepun dilanda malapetaka atau selepas setahun dan dua tahun Jepun mengharunginya, tetap sama. Apa yang Malaysia hulurkan bukan sahaja bantuan dalam bentuk material, malah lebih mahal dan mapan ialah berkongsi resah rasa mereka melalui pertolongan bahasa.

Perkara kecil yang tidak banyak diketahui ialah Jepun cukup kuat berpegang kepada budayanya. Ringkasnya, begini sahaja. Bencana berganda di Jepun berlaku pada Mac, bulan di mana ia bergelut bukan sahaja dengan musibah tsunami, gempa dan krisis nuklear tetapi juga cuaca sejuk. Ya, sungguh molek diberi bantuan pakaian tebal kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan sementara ketika itu. Oleh kerana itu, mereka sangat hargai bantuan berkenaan. Tetapi, di celah-celah bantuan yang mencurah-curah datang, sekadar bertanya, adakah mereka masih memerlukan pakaian nipis jarang walaupun mahal harganya dalam cuaca sejuk di bawah paras beku? Atau, pertanyaan lain, adakah makanan dan minuman sangat dipentingkan mereka walaupun kelaparan ketika mereka enggan membuang kumuhan disebabkan tiada kemudahan tandas di pusat pemindahan?

Longgokan sampah sisa bencana tsunami yang masih belum dibersihkan

“Kalau bahasa dilema mereka difahami, bentuk bantuan yang sangat dihargai mereka ketika itu tentunya mengirimkan lampin pakai buang kanak-kanak atau dewasa supaya mereka boleh menggunakannya tanpa perlu menolak untuk makan atau minum, dengan kata lain, mereka tidak perlu mati kelaparan dalam cuaca sejuk,’’ kata Presiden Alumni Dasar Pandang ke Timur ALEPS , Syed Putera Syed Mokhtar semasa saya dan beliau bersembang dalam bas persiaran menuju ke Rikuzentakata tahun lalu.

Namun merujuk kepada bantuan itu, katanya lagi, tiada satu negara pun yang terfikir lalu bertindak untuk menghantar lampin pakai buang itu, yang barangkali didorong oleh kurang faham bagaimana penerimaan Jepun tentang bantuan. Sebab itu, sambung beliau kemudiannya dan disokong sabahat saya, juga ahli ALEPS, Dr Zooraida Mustafa, Malaysia cuba secara beterusan memberi bantuan kepada Jepun dalam bentuk sukarela bahasa, kerana itu lebih menyentuh berbanding material yang susut bilangan serta nilai harganya.

Kapal nelayan yang masih tersadai di pesisir pantai Jepun

Semua ahli ALEPS fasih berbahasa Jepun, itu satu kelebihan. Kelebihan yang baik itu akan jadi berguna apabila dimanfaat untuk sama-sama membantu duduk, faham dan berada dalam orbit mangsa bencana Jepun yang sehingga selepas dua tahun sekali pun mereka masih dilanda trauma. Salah seorang peneraju badan bukan kerajaan NGO untuk sukarelawan Jepun, Shinomeru Kikuchi mengakui dunia semakin melupakan apa yang berlaku di Jepun, tetapi mujur ada sekelompok ahli ALEPS yang faham mereka lalu datang mengirimkan bantuan melalui bahasa sekali gus cuba menyelami derita mereka.

Cerita mangsa tsunami selepas berlaku malapetaka dan selepas setahun atau dua tahun ia berlalu tidak sama. Benar, pada awalnya, wang dan pakaian penting, tetapi selepas masa jadi pengubat nestapa terbaik, apa yang lebih diperlukan mereka ialah mendengar bahasa derita mereka. Dan, itu dapat dilakukan secara tidak bermusim oleh mereka yang faham budaya dan bahasa mereka. Perkara itu boleh dilakukan oleh Malaysia, menerusi legasi dasar luar negara yang melahirkan alumni Dasar Pandang ke Timur, ALEPS tentunya. Sehingga sekarang sekali pun, ahli ALEPS belum putus bantuan dengan Jepun, jelas sekali kerana jasa dan kenang budi yang mengikat , selain bahasa.