SOROTAN dunia dihalakan ke Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka hujung minggu lalu. Sebahagian sebabnya ialah musim monsun sudah tiba di kawasan-kawasan tertentu di negara itu.

Dunia jadi bimbang dan khuatir kemudiannya apabila Taufan Mahasen akan melanda bersama-sama kedatangan musim monsun itu. Bukan sahaja angin kencang dan hujang, kekuatan Mahasen dikatakan boleh memusnahkan infrastruktur lain. Mahasen terlebih dahulu melanda Sri Lanka sebelum bergerak ke Myanmar dan Bangladesh.

Apabila pergerakan Mahasen menghala ke barat Myanmar, kegusaran menjadi semakin jelas. Barat Myanmar itu merangkumi Arakan, yang kini dikenali sebagai Rakhine. Berita tentang etnik Rohingya, yang rata-rata tinggal berselerakan di barat Myanmar, karam semasa usaha pemindahan mereka dilaksanakan, menjadi tajuk utama. Mahasen kemudiannya segera diharapkan untuk membuka mata dunia tentang kesengsaraan etnik yang tiada negara ini.

Rohingya dan Tayfan Mahasen

Memang benar, ada berita tentang Rohingya susulan Taufan Mahasen. Berita tentang pemindahan mereka juga ada. Tidak ketinggalan, keengganan mereka untuk berpindah kerana tidak percaya kepada pihak berkuasa Myanmar. Namun, kisah sebenar penderitaan mereka kerana tiada warganegara, tidak diberi perhatian sepenuhnya. Mahasen yang diharap menjadi pembuka jalan kepada dunia untuk bersimpati lalu membantu selesaikan masalah Rohingya tidak menjadi kenyataan.

Selepas Mahasen berlegar-legar di Teluk Benggal selama 3 hari, ia semakin melemah. Sekurang-kurangnya 10 orang maut di Bangladesh, 6 di Sri Lanka. Di Myanmar, tiada korban jiwa dilaporkan kerana Mahasen. Apabila Mahasen semakin melemah, begitu juga nasib Rohingya, terpadam semula dari radar perhatian masyarakat antarabangsa.

Masalah Rohingya menjadi isu kerana Myanmar yang sebelum ini dikenali sebagai Burma menganggap mereka adalah pendatang daripada Bangladesh. Sedangkan pihak Bangladesh pula menyifatkan mereka sebagai pelarian daripada Myanmar.

Kesemua ini berlaku kerana British yang menjajah kedua-dua Burma dan India telah membuat sempadan yang menjadikan Arakan sebagai sebahagian daripada Burma, dan bukannya negara berasingan. Negeri Benggala dipisahkan antara Timur dan Barat. Benggala Barat dihuni kebanyakannya beragama Hindu manakala Benggala Timur terdiri daripada mereka yang beragama Islam. Sedangkan sejak berzaman-zaman, penduduk Arakan bergerak keluar masuk sempadan India dan Burma secara bebas. Arakan sendiri diletakkan dalam pentadbiran Rangoon (kini Yangon). Namun masalah bermula dan berlanjutan sehingga kini, apabila British keluar daripada India dan Burma pula menjadi negara merdeka.

Semasa British menjajah India, tiada Bangladesh seperti mana hari ini. Namun selepas British meninggalkan India, Benggala Timur yang merdeka menjadi Bangladesh. Arakan berada di dalam Burma tetapi kerajaannya tidak mengiktiraf penduduk Rohingya sebagai warganya. Penderitaan yang ditanggung oleh kaum Rohingya di bawah kuasa junta tentera Burma yang menafikan sebarang dokumen kerakyatan kepada mereka menjadi mereka bangsa tanpa negara.

Maka, mereka menjadi pelarian untuk mendapatkan perlindungan di Bangladesh sedangkan negara itu sendiri pun mempunyai masalah sendiri. Sebab itu, mereka menjadi pelarian tidak sahaja di Bangladesh, tetapi sampai juga ke Thailand dan Malaysia.

Kedatangan Mahasen diharap dapat menyegarkan semula fikiran masyarakat dunia tentang sejarah panjang dan pahit etnik Rohingya ini. Kalau Taufan Katrina membawa kepada pendedahan dan sisi lain tentang New Orleans, begitu juga harapan ke atas Mahasen. Begitu juga bencana lain, menjadi ejen kepada perdamaian kerajaan dan pihak bertelagah sesebuah negara. Indonesia sebagai contoh, Tsunami 2006 misalnya berjaya membawa Gerakan Acheh Merdeka (GAM) berganding bahu dengan kerajaan Indonesia berpusat di Jakarta, sekali gus membawa gencatan senjata kemudiannya antara kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini, Taufan Nargis, yang melanda Delta Irrawady memusnahkan infrastruktur Myanmar dan beratus-ratus ribu nyawa terkorban. Namun ketika itu Myanmar masih belum menunjukkan usaha bersungguh untuk demokrasi. Maka bentuk bantuan ke negara itu juga terbatas pada ketika itu. Ketika, selepas kepimpinan Thein Shein secara perlahan-lahan cuba kembali ke pangkuan demokrasi, seharusnya soal penindasan dan penderitaan etnik minoriti diambil perhatian.

Thein Shein akan menjadi pemimpin pertama daripada kerajaan Myanmar ke Washington, menemui Presiden Barack Obama minggu ini. Sebelum ini, pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi juga sudah bertemu bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton untuk membincang pelbagai isu tetapi agenda lebih menjurus kepada soal hak asasi dan pembebasan berates-ratus tahanan politik Myanmar.

Walaupun Taufan Mahasen gagal menjadi pencetus perhatian dunia kepada nasib malang Rohingya, setidak-tidaknya, diharap Thein Shein cuba membangkitkan isu minoriti kepada Washington. Isu minoriti juga menjadi identiti kepada Myanmar. Myanmar dan Thein Shein tidak boleh melupakan kedua-dua isu ini. Kerana sejarahnya, Rohingya sebahagian daripada minoriti dan identiti Myanmar, Thein Shein tidak boleh gagal, selain menyelesaikannya. Pada akhirnya, dua isu ini minoriti dan identiti menjadi perkara terpenting dalam soal demokrasi di Myanmar.