Nota: Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, kami akan menerbitkan secara berkala persoalan-persoalan yang boleh meningkatkan kefahaman dan penghayatan umum kepada ibadat puasa. Soal jawab ini dipetik dengan izin penerbit buku Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya. Buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd itu ditulis oleh Datuk Ismail Kamus dan Mohammad Bidzam Abdul Kadir.

__________________________________________

Sistem kalendar Hijrah berasaskan perjalanan bulan, tidak sebagaimana kalendar Masihi yang berasaskan pergerakan matahari. Oleh itu, penentuan awal Ramadan berdasarkan nampaknya anak bulan Ramadan.

Zaman Nabi s.a.w, dengan adanya persaksian seseorang Muslim yang adil bahawa dia sudah melihat anak bulan Ramadan, maka Nabi s.a.w akan menerimanya dan mengarahkan umat Islam berpuasa.
Contohnya: Ibn Abbas r.a menceritakan bahawa seorang lelaki datang berjumpa Nabi dan memberitahu bahawa dia melihat anak bulan. Nabi s.a.w bertanya tentang imannya sama ada dia bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad Rasul Allah? Selepas dia mengakuinya, Nabi mengarahkan Bilal memberitahu agar esok berpuasa. (Riwayat Abu Daud)

Tapi zaman sekarang, dengan kecanggihan yang ada, Alhamdulillah umat Islam dalam skala yang lebih besar dapat berpuasa. Suatu masa dulu mungkin sekitar tahun 60-an, umat Islam masih berbeza tentang tarikh mula puasa. Kalau Kedah sudah mula puasa pada hari Khamis, Perak mungkin puasa pada hari Jumaat. Adakalanya orang di Kedah tak puasa lagi pada hari Khamis dengan alasan mengikut negeri Perak.

Kejadian ini masih berlaku di negara lain. Ada satu negara yang ada tiga tarikh mula berpuasa. Kumpulan A: Puasa pada hari Isnin. Kumpulan B: Puasa pada hari Selasa. Kumpulan C: Puasa pada hari Rabu.

Natijahnya, mereka akan saling berkelahi. Apabila kumpulan A berkata bahawa puasa pada hari Isnin, akan ada yang tak berpuasa kerana mereka mengikut kumpulan B yang berpuasa pada hari Selasa. Akhirnya kumpulan A akan menangkap rang yang tak berpuasa pada hari Isnin. Begitu juga kumpulan B akan menegah orang daripada berpuasa pada hari Isnin kerana hari Isnin itu adalah hari syak iaitu salah satu hari yang tidak dibenarkan berpuasa. Alhamdulillah dengan keseragaman, masalah ini dapat diatasi.

Semuanya ini menjadi kajian ulama silam lagi. Asas kepada masalah ini ialah perbezaan terbit bulan. Seeloknya umat Islam dapat disatukan dalam permulaan ibadat dan sebagainya. Ini baru satu negara Malaysia. Bagaimana pula dengan negara yang lain seperti Singapura, Brunei dan Indonesia. -- Telaga Biru