Tiada pedoman dan tidak berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah wujudkan tindakan ekstrimis dalam kumpulan ajaran sesat ini yang seterusnya boleh menggugat dan mengancam keselamatan negara.

Demikian kata Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Zaihan Mat Zin dalam membincangkan ancaman pintar kumpulan ajaran sesat ke atas keselamatan negara.

“Kronologi kumpulan ajaran sesat ini bermula dari mereka yang tiada pedoman, tidak berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah yang membawa kepada tindakan radikal dan pemberontakan”katanya.




Zaihan turut berkata, Ssetakat ini lebih 70 kumpulan ajaran sesat dikatakan wujud di Malaysia namun disebabkan kekangan undang-undang menghalang kumpulan ini untuk terus bertapak.

“Lebih 70 kumpulan ajaran sesat wujud di Malaysia dan hanya 50 yang masih aktif namun tembelang ajaran kumpulan-kumpulan ini sudah ketara dikalangan masyarakat dan ia menghalang untuk mereka meneruskan ajaran” katanya lagi.




Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohamad Said berkata punca berlakunya kegiatan ekstrimis dikalangan kumpulan ajaran sesat ini adalah kerana rasa taksub ke atas ketua dan rasa ketidakpuasanhati ke atas sesuatu perkara.

“Bermula dari pemujaan kepada ketua dan mahu membetulkan keadaan dengan tujuan lain seperti pengitirafan, pangkat dan sebagainya menyebabkan tindakan ekstrimis berlaku” katanya yang suatu masa dahulu pernah mematahkan serangan kumpulan militan Al-Maunnah.



Mereka berdua membincangkan tajuk berkenaan sewaktu menjadi tetamu dalam program bual bicara Astro AWANI, Sudut Pandang pada Jumaat.