Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bercadang memohon peruntukan sebanyak RM500 juta dalam Bajet 2015 bagi membeli produk inovasi untuk membantu mengkomersialkan produk tempatan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata langkah itu juga sebagai satu pendekatan untuk menggalakkan rakyat menggunakan produk inovasi yang dikeluarkan di negara ini.

"Mosti mencadangkan sejumlah RM500 juta diperuntukkan dalam bajet akan datang untuk membeli produk inovasi, tetapi ia bergantung kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup karnival pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka/Negeri Sembilan dan Politeknik Merlimau Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata produk inovasi yang dibeli kemudiannya akan diagihkan kepada kementerian tertentu untuk digunakan.

Sebagai contoh katanya Mosti bercadang membeli produk menghapuskan pembiakan nyamuk Aedes 'Mousticide' keluaran sebuah syarikat tempatan yang mampu membantu memerangi wabak denggi yang semakin menular di negara ini.

Mengulas lanjut katanya, terdapat pelbagai produk inovasi yang dihasilkan pencipta tempatan tetapi berdepan masalah untuk dikomersialkan atau dijual kerana rakyat berasa ragu-ragu untuk membeli dan menggunakannya.

Terdahulu, Abu Bakar menyampaikan piala, sijil penghargaan dan cek berjumlah RM1,500 kepada Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja Rembau, Negeri Sembilan yang menjuarai pertandingan mencipta arca pada karnival tersebut.

Sebanyak 50 peserta yang merupakan ahli Kelab Pembinaan CIDB dari lapan sekolah dan kolej vakasional di negeri Melaka dan Negeri Sembilan menyertai pertandingan itu.