KUMPULAN AirAsia berada di landasan tepat ke arah menjadi sebuah entiti berteraskan digital yang merangkumi semua aspek perniagaan.

Ini sejajar dengan hasrat pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes, yang mahu menjadikan AirAsia lebih daripada sebuah syarikat penerbangan tetapi satu platform hentian untuk keperluan perjalanan orang ramai.

Baru-baru ini, ketika sesi Hari Pelabur Kumpulan AirAsia, Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkongsi pelan pertumbuhan bagi perniagaan penerbangan dan digital merangkumi peningkatan hasil dan inisiatif pengurangan kos.



PENGURANGAN KOS

Dari sudut pengurangan kos, jenis-jenis pesawat lama AirAsia akan digantikan dengan pesawat A320neo baharu dan A321neo pada suku ketiga tahun kewangan 2019. Pesawat-pesawat ini mempunyai teknologi bahan bakar canggih yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 15 peratus pada tahun kewangan 2020. Ini secara tidak langsung diterjemahkan kepada kos yang lebih murah bagi tiket penerbangan.

Di samping itu, AirAsia juga memanfaatkan analisis data untuk melaksanakan penyelenggaraan ramalan bagi memastikan penjadualan cekap untuk alat ganti yang berpotensi memberi penjimatan sehingga RM165,000 setiap pesawat setiap tahun.


AIRASIA.COM

Platform dalam talian, airasia.com mencatatkan nilai jualan kasar (GMV) sebanyak RM16 bilion hanya dari penjualan tiket penerbangan. Ini akan terus diperkukuh dipacu mekanisme pelarasan tambang dinamik yang dapat meramalkan kuasa membeli pelanggan mengikut trend carian. Pelan untuk meningkatkan GMV kepada AS$25 juta menjelang 2025 tidak termasuk membuka airasia.com kepada perniagaan berkaitan perjalanan lain seperti hotel dan pakej pelancongan, e-dagang, langganan muzik dan permainan dalam talian serta e-hailing.

Bagi menyokong pertumbuhan airasia.com, AirAsia juga telah memperkenalkan BigPay untuk membolehkan pembayaran mudah alih, pengeluaran tunai, debit prabayar MasterCard dan transaksi urus niaga bagi mata wang utama pada kadar pertukaran sangat kompetitif.

Kemudahan ini berkait dengan program kesetiaan BIGLIFE yang membolehkan pembelian barangan sampingan dan juga hotel di airasia.com melalui penebusan mata ganjaran.

Bergerak ke hadapan, BigPay mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan pinjaman bagi perniagaan dan perkhidmatan pengiriman wang, yang mensasarkan warga asing yang bekerja di rantau ASEAN.


PERNIAGAAN KARGO: TELEPORT

Teleport Commerce Malaysia (sebelum ini RedCargo Logistics) menguruskan ruangan kargo pesawat untuk semua penerbangan AirAsia.

Baru-baru ini, Teleport menjalin kerjasama dengan Oman Air yang akan memberi pelanggan akses kepada ruang kargo dalam rangkaian pengangkutan dan kargo Oman Air termasuk Afrika, United Kingdom dan Eropah.

Pelanggan Omar Air pula boleh menempah ruang kargo di rangkaian luas AirAsia yang mempunyai lebih 5,000 penerbangan mingguan di seluruh Asia Tenggara, termasuk di destinasi utama Oman Air seperti Kuala Lumpur, Bangkok, Manila dan Jakarta.

Ini membuktikan ketangkasan Teleport untuk mengintegrasikan permintaan dan rangkaian dari syarikat penerbangan lain dengan liputan yang lebih meluas. Dari aspek e-dagang, Teleport akan mengurangkan pelbagai lapisan proses pengisian kargo udara tradisional daripada 138 jam kepada hanya 12 jam, ditambahbaik menggunakan teknik analisis ramalan.

Oleh itu, penghantaran sehari boleh menjadi norma dan realiti di bawah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Teleport. Selain Oman Air, Teleport turut menjalin kerjasama bersama syarikat penerbangan nasional New Zealand, Air New Zealand.


E-DAGANG: OURSHOP

AirAsia akan membawa masuk lebih banyak jenama bebas cukai terkemuka bagi menyertai platform e-dagangnya, ­OURSHOP.

Tony berkata, jenama bebas cukai seperti Lagardere, Heinemann dan Eraman telah menunjukkan minat terhadap OURSHOP selain daripada beberapa jenama lain yang sedia ada di platform berkenaan.

OURSHOP merupakan platform beli-belah dalam talian AirAsia yang menawarkan pelbagai pilihan produk daripada peruncit bebas cukai dan tempatan di seluruh dunia.

BACA: Kerjasama ERAMAN, OURSHOP tingkat pengalaman beli-belah ketika mengembara

Baru-baru ini, OURSHOP menjalin kerjasama dengan jenama bebas cukai lapangan terbang milik Malaysia Airports, ERAMAN yang membolehkan penumpang menerima barangan ditempah di laman ourshop.com apabila tiba di lapangan terbang.

Menerusi kerjasama itu, sebuah lokasi 'pick up point' khusus diwujudkan di premis ERAMAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk kemudahan tersebut.

Melalui kerjasama dengan OURSHOP, peruncit bebas cukai akan menerima manfaat tambahan seperti akses kepada trend penumpang, destinasi berlepas dan ketibaan mereka, yang membolehkan jenama tersebut me­nyasarkan pemasaran dan pemilihan produk yang lebih tepat.

Di OURSHOP, tetamu boleh menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang mudah, cepat dan selamat tanpa beratur panjang dan tergesa-gesa di lapangan terbang.

Dengan pelbagai pilihan jenama antarabangsa dan tempatan yang mewah, OURSHOP adalah gedung kepada pelbagai produk terdiri daripada fesyen, barangan kemas, kesihatan dan kecantikan, minuman keras, gajet, alat permainan dan makanan yang ditawarkan pada harga kompetitif.

Para tetamu boleh memilih untuk menerima barangan mereka di lapangan terbang semasa ketibaan, sebelum berlepas atau dihantar ke tempat duduk mereka ketika di dalam penerbangan AirAsia.