Sektor teknologi komunikasi dan maklumat, ICT di ASEAN bakal berdepan cabaran daripada pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Sehubungan itu, Malaysia, Thailand dan Vietnam bersama Pertubuhan Industri Komputer Asian-Oceanic, ASOCIO menubuhkan Pasukan Khas Komuniti Ekonomi Digital ASOCIO-ASEAN (AADT) bagi menghadapi cabaran tersebut.

Pengerusi PIKOM, Cheah Kok Hoong yakin, AADT akan memberikan panduan dan nasihat yang diperlukan untuk memastikan sektor ICT bersedia bagi menghadapi cabaran pelaksanaan AEC.

"PIKOM telah menyuarakan pendapat bahawa satu pasukan perlu ditubuhkan untuk membantu menghadapi cabaran AEC dan kami gembira melihat AADT direalisasikan.

''Menurut Pelan Induk ICT ASEAN 2015, ICT akan terus menjadi pemacu utama dalam semua aspek AEC" kata Kok Hoong,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman, (MoU) antara PIKOM dan CISA dari Taiwan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, antara isu akan ditumpukan oleh AADT adalah kesan cukai kepada sektor ICT, jurang digital dan jurang sosio-ekonomi di antara negara-negara ASEAN dalam bidang utama seperti penembusan jalur lebar, infrastruktur ICT dan pendapatan boleh guna.

AEC dijangka dilaksanakan menjelang Disember 2015.

Sementara itu, melalui MoU yang ditandatangani akan membuka jalan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Taiwan.

Ia bakal menyaksikan kedua-dua negara memanfaatkan perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi, padanan perniagaan dan lawatan delegasi ICT antara pasaran bagi memanfaatkan amalan serta idea terbaik daripada kedua-dua negara.

Menjelang Bajet 2016, Kok Hoong berharap kerajaan akan melaksanakan cukai berkadaran sifar dan jalur lebar yang lebih cepat dan murah di Malaysia.

Kok Hoong juga berkata beliau tidak akan berputus asa sehingga inisiatif ini dilaksanakan.