Kementerian yang gagal mematuhi pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini akan dikurangkan peruntukan mereka untuk tahun hadapan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pemantauan akan dibuat bagi memastikan semua kementerian mengambil langkah penjimatan berkenaan.

"Kita telah memberitahu semua kementerian di mana pemotongannya berjumlah lebih kurang RM4 bilion. Pemotongan ini bukan sahaja dari segi pengurangan kos pengangkutan kita, baik dalam negara dan luar negara.

"Tetapi ia juga melibatkan pengurangan dari segi penyelenggaraan bangunan dan pembekalan. Ada alat-alat yang kita masih boleh pakai. Jadi yang ini kita minta kurangkan," katanya.

Jawatankuasa integriti yang dipengerusikannya juga akan memastikan laporan Ketua Audit Negara diberi keutamaan supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau pada masa sama meminta semua pihak bersatu dan bekerjasama untuk menghadapi cabaran krisis ekonomi yang disifatkannya terburuk dalam dunia moden.

Ahmad Husni berkata, berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masa hadapan ekonomi Malaysia masih dilihat positif.