Dalam usaha untuk mengurangkan kontak antara orang ramai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan ketika ini, beberapa syarikat penghantaran makanan telahpun melancarkan program yang tidak akan memberi kontak di antara mereka dengan pelanggan.

Domino’s Pizza antara syarikat yang mengumumkan semua perkhidmatan penghantaran mereka kini menggunakan konsep 'Zero Contact' atau kontak sifar.

Perkhidmatan tersebut akan dijalankan tanpa sebarang sentuhan.

"Konsep Zero Contact ini adalah demi kebaikan dan pekerja penghantaran kami. Penjarakan sosial adalah kaedah yang penting dan berkesan untuk memerangi penyebaran virus COVID-19 ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Domino’s Pizza Malaysia, Shamsul Amree.


Selain itu, platform penghantaran makanan atas permintaan, FoodPanda, juga mengumumkan bahawa syarikat itu akan beroperasi seperti biasa sepanjang dua minggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia.

Untuk meminimumkan risiko dan mengurangkan interaksi manusia, FoodPanda telah melancarkan dasar Pengiriman Tanpa Hubungan sejak beberapa hari yang lalu.

Menurut FoodPanda, langkah-langkah baru diperkenalkan untuk keselamatan yang lebih baik dan untuk memastikan pelanggan berasa selamat ketika menggunakan perkhidmatan mereka.

Semasa proses pesanan, pelanggan boleh memaklumkan kepada penunggang bahawa mereka memilih untuk penghantaran tanpa perhubungan.

BACA: Berterima kasih kepada wira-wira penghantar makanan, minuman

BACA: COVID-19: Foodpanda laksanakan penghantaran tanpa sentuh

Apabila tiba, makanan anda akan diletakkan di lokasi “drop off” yang ditetapkan, sama ada di rumah atau pejabat anda, dan pelanggan akan diberitahu bahawa makanan mereka telah tiba.

Jarak minimum 1 meter antara penunggang dan pelanggan akan dikekalkan, dan pelanggan juga perlu mengesahkan bahawa makanan mereka telah dihantar.

Untuk mengurangkan lagi interaksi, pelanggan juga diminta untuk beralih ke pembayaran dalam talian.