Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

COVID-19: Penyewa PPR, PA tidak perlu bayar sewa selama enam bulan

COVID-19: Penyewa PPR, PA tidak perlu bayar sewa selama enam bulan
Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini tidak perlu membayar sewa selama enam bulan, bermula April ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini, beliau berkata, kos sewaan sebanyak RM3 juta tersebut akan ditanggung oleh kerajaan.
“Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020,” katanya lagi.
BACA: COVID-19: Pelajar di semua institusi pengajian tinggi terima RM200 - Muhyiddin

“Bagi Perumahan Awam pula, Muhyiddin berkata, DBKL akan memberi pengecualian yang sama, yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa.

“Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing,” katanya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain.

“Ini termasuk semua premis milik agensi dan Badan Berkanun Kerajaan Persekutuan. Saya juga menggesa agar Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan GLC memberikan pengecualian yang sama,” katanya lagi.