Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan melaksanakan kenaikan yuran dan caj secara berperingkat bagi industri penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat antara DCA dan syarikat penerbangan semalam, yang memohon kenaikan berperingkat supaya mereka boleh merancang bajet masing-masing dan mengelak kesan ke atas tambang udara.

"Mesyuarat itu berjalan dalam suasana yang mesra dan berhasil, kini pemegang kepentingan memahami hasrat dan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

"Mereka berkata kenaikan (yang dicadangkan itu) adalah terlalu mendadak kepada mereka. Jadi, perlu ada satu perancangan mengenai bagaimana kita boleh menaikkannya dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada industri.

"Intipati kepada isu tersebut ketika ini adalah ia tidak akan menjejaskan tambang udara," katanya kepada pemberita di Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.


Kenaikan caj dan yuran secara berperingkat - Liow Tiong Lai

BACA: Caj baharu perkhidmatan penerbangan seiring peningkatan sistem - Tiong Lai

BACA: Menteri Pengangkutan akan tentukan kadar baru caj perkhidmatan penerbangan - DCA

Hadir sama ialah Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Liow berkata sementara kajian semula yuran dan caj dijalankan, yang tidak pernah disemak lebih 40 tahun, yang mana ia tidak boleh dielakkan, DCA akan terus bekerjasama dengan penggiat industri supaya semua pihak akan memperoleh situasi sama menang.

Mengenai sama ada yuran dan caj baharu akan dilaksanakan seperti yang dirancang pada 15 April ini, Liow berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat.

"15 April merupakan tarikh sasaran namun ia bergantung bagaimana cepatnya mereka (DCA dan penggiat industri) boleh memuktamadkan perbincangan mereka," katanya.

Beliau berkata pihak industri perlu memahami bahawa DCA akan dinaik taraf menjadi sebuah pihak berkuasa penerbangan awam yang memerlukannya mempunyai perkhidmatan, peralatan dan kakitangan yang lebih baik.

"Kami (DCA) turut meliputi pelbagai perkhidmatan yang luas. Jadi, semua ini memerlukan dana tambahan demi kebaikan industri," katanya.

Sementara itu, Azharuddin berkata, caj baharu itu perlu dilaksanakan untuk memenuhi perancangan pengurusan trafik udara global oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang dikenali sebagai Naik Taraf Blok Sistem Penerbangan.

"Jadi DCA berbincang dengan syarikat penerbangan bagaimana kami boleh bersama-sama bergerak maju," katanya.

Cadangan kenaikan yuran penerbangan dan caj perkhidmatan itu termasuk penggunaan ruang udara, kemudahan trafik udara serta lesen penerbangan juruterbang.

Berdasarkan caj baharu itu, kadar pengendalian penerbangan udara (ANFC) akan naik daripada lima sen setiap batu nautika sekarang kepada 50 sen untuk pesawat ringan tidak lebih 2,500 kilogram.

Bagi pesawat lebih besar seperti Airbus A320/A330 dan Boeing B737/B777, kos itu akan dinaikkan kepada RM1-RM2.50 setiap batu nautika berbanding 10-25 sen sekarang, manakala bagi pesawat melebihi 135,000 kilogram, kadar itu akan naik daripada 30 sen kepada RM3 setiap batu nautika.