Tutup

Berita  | Bisnes

EastCap Berhad, RKI tandatangan MOU pembelian 1,000 super dron

EastCap Berhad, RKI tandatangan MOU pembelian 1,000 super dron
Zakwanhafiz (kanan) dan Presiden RKI, Bapak Insanial Burhamzah (kiri) pada MOU pembelian 1,000 unit super dron di Jakarta pada Jumaat - Gambar EastCap Berhad
KUALA LUMPUR: Memorandum kerjasama (MOU) yang dimeterai Rumah Koperasi Indonesia (RKI) bagi pembelian 1,000 unit super dron dengan kepintaran buatan (AI) dilihat platform untuk kemajuan pengangkutan dan logistik di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, sebagai permulaan kerjasama, RKI akan membuat pembelian sebanyak 100 unit super dron pertama.

“Pembelian pertama super dron ini bagi kegunaan dalam operasi pengangkutan logistik dan pengangkutan perhubungan (penumpang) khususnya di pulau-pulau di sekitar Indonesia.

“RKI juga akan memperkenalkan super dron ini sebagai alat pengangkutan dalam operasi kecemasan bagi bencana di negara jiran berkenaan iaitu sebagai ambulans, menghantar bantuan bekalan makanan dan perubatan serta mengangkut mangsa bencana,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

BACA: Kereta terbang: Super dron, revolusi pengangkutan udara bakal diperkenal

BACA: 
Prototaip kereta terbang dilancarkan seawal Oktober 2019
Pada Jumaat, MOU berkenaan ditandatangani antara EastCap Berhad dan RKI di Jakarta.

Dalam pada itu Zakwanhafiz menjelaskan, pembelian itu juga bagi memperkenalkan penggunaan super dron dalam sektor pertanian di Indonesia sebagai alat pemetaan kawasan perladangan serta alat perladangan untuk aktiviti membaja dan meracun.

Di samping itu, katanya, kerjasama RKI dengan EastCap Berhad juga bagi tujuan memperkenalkan pengangkutan mudah alih pintar ini sebagai pemangkin kepada sektor pelancongan di Indonesia yang terkenal sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

“Pembelian super dron ini sebagai alat pengangkutan penumpang dan barangan bagi menghubungkan kepulauan yang terdapat di sekitar kawasan Indonesia,” ujarnya

Selain pembelian, kerjasama itu juga akan melihat prospek bukan sahaja pembelian bahkan kepada cadangan pembinaan kilang pemasangan super dron di Indonesia.
Tambahnya, turut dibincangkan adalah isu pembekalan serta kerjasama bagi sektor pertanian meliputi penggunaan motosikal elektrik berkapasiti tinggi,  traktor pertanian dan peralatan jentera pertanian berasaskan elektrik.

“Kita juga akan memperkenalkan penggunaan ‘power bank' dengan kapasiti tinggi sebagai alat bantuan bagi kegunaan isi rumah ketika bekalan elektrik terputus khususnya di kawasan luar bandar serta kerjasama di dalam sektor perladangan padi,” katanya.

Sebelum ini, EastCap Berhad menjalinkan usahasama dengan syarikat dari China iaitu, EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited bagi memperkenalkan super dron sebagai revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

Menurut Zakwanhafiz, langkah itu merupakan kerjasama strategik di antara syarikat tempatan dengan dua syarikat gergasi itu bagi memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaran super dron di Malaysia.

Dengan menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI), kereta terbang yang bakal diperkenalkan tahun ini akan digunakan untuk pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan di Malaysia.

Super dron ini telah terbukti mampu menjimatkan kos, mesra pengguna dan boleh menyelesaikan masalah mobiliti khususnya di kawasan bandar dan luar bandar sekiranya berlaku kecemasan selain memudahkan pemantauan tanpa kesesakan.

Super dron itu juga mampu melakukan penerbangan bagi ketinggian 300 meter dengan kelajuan maksimum 130 kilometer sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri adalah sejauh 110 kilometer.

Ia turut berupaya membawa maksimum dua orang penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram dalam satu-satu masa.

Bagi tujuan pelancongan, super dron ini boleh membawa penumpang di antara pulau-pulau pelancongan dengan kos serendah RM80.00 untuk satu perjalanan.


Tag: MoU, bank, Indonesia, China, mangsa, pelancongan, kereta, penerbangan, operasi, perubatan, kereta terbang, super dron


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.