Penyedia perkhidmatan dan produk perayauan mudah alih antarabangsa, Flexiroam Ltd, menandatangani perjanjian penajaan dengan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda Malaysia Sdn Bhd.

Perjanjian itu dimeterai melalui anak syarikat milik penuhnya, Flexiroam Asia Limited, bagi kempen World Food Tour Foodpanda dari 27 Sept hingga 30 Nov 30, 2016.

Kempen itu bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai jenis makanan di seluruh dunia yang boleh didapati di platform Foodpanda, menurut Flexiroam Ltd dalam kenyataan hari ini.

Penajaan Flexiroam termasuk pek permulaan Flexiroam X untuk pemenang hadiah utama kempen tersebut dan data percuma untuk semua pengguna Foodpanda yang menjadi pelanggan baharu Flexiroam X.

Foodpanda akan turut menampilkan Flexiroam di platform media sosialnya manakala Flexiroam akan mempromosikan kempen World Food Tour di platform media sosialnya.