Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan bahawa isian semula prabayar tertakluk kepada GST dan mematuhi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Halim Shafie bagaimanapun berkata, nilai prabayar adalah sama dengan nilainya sebelum pelaksanaan GST cuma cukai itu ditambah kepada amaun prabayar.

"Saya telah diberi taklimat oleh telcos mengenai perkara ini. Sejak dari mula, perkhidmatan komunikasi tidak termasuk dalam senarai barangan yang dikecualikan atau zero rated daripada GST.

"Ia bermakna pengguna perlu membayar GST untuk perkhidmatan ini. Ini termasuk isian semula prabayar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu kata Dr Halim, keempat-empat pembekal perkhidmatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bersetuju dengan cara pelaksanaan GST keatas isian semula prabayar.

"Ia merupakan isu dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung semalam di antara Jabatan Kastam dan wakil daripada keempat-empat pembekal perkhidmatan komunikasi," jelasnya.

Katanya lagi, bagi meringan beban terhadap pengguna, sebagai langkah peralihan, para pengguna yang mengisi semula RM5.00 ke atas akan mendapat nilai tambahan yang melebihi GST 6% yakni dalam bentuk minit dan mesej teks percuma.

"Tempoh peralihan bermula 3 April 2015 selama tiga bulan.

"Satu kajian akan juga dijalankan oleh pembekal perkhidmatan komunikasi bagi menilai sama ada pengguna cenderung kepada nilai isian semula yang lebih rendah dimana GST akan dikenakan.

Contohnya, isian semula RM10.00 boleh dijual pada harga RM10.60 (isian semula RM10 tambah GST 6%) atau RM10.00 (isian semula RM9.43 tambah GST 6%)," katanya.

Sementara itu ujarnya, pihak industri sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta SKMM dalam membangunkan pakej jalur lebar yang lebih mampu dimiliki oleh rakyat.

"Pengumuman dijangka dibuat pada pertengahan bulan April," jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyarankan syarikat-syarikat telekomunikasi negara untuk menjalankan satu kajiselidik di kalangan pengguna tentang kad tambah nilai prabayar yang dikenakan GST bermula 1 April.