Penubuhan dan pengekalan persekitaran komersial yang adil dan kompetetif menjadi antara teras strategik untuk menambahbaik industri penerbangan awam negara agar lebih ekonomik.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, selain itu penyediaan infrastruktur lapangan terbang yang cekap dan berkesan dari segi penyampaian perkhidmatan dan operasi turut menyumbang kepada langkah berkenaan.

Jelasnya, penubuhan asas modal insan yang kukuh bagi menyokong pembangunan sektor penerbangan awam juga memastikan matlamat itu tercapai.

"Kita juga akan cuba lihat situasi jangka panjang, apa infrastruktur lapangan terbang, salah satu yang kita bincangkan, adakah kita akan membuat model hab sehala di Kuala Lumpur, atau dua hala Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

"Di Semenanjung ada ECRL, HSR dan pelbagai lagi. Apakah ia model penyambungan pelbagai pengangkutan untuk menampung kedatangan tetamu di Malaysia, " katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini, pada Selasa.

BACA: Mavcom boleh beroperasi sekurang-kurangnya 6 bulan lagi - Loke

BACA:
Mavcom, CAAM dijangka digabungkan

Dalam pada itu jelas Dr Nungsari, ketiga-tiga teras itu perlu disokong oleh satu rangka kerja institusi yang kukuh bagi industri penerbangan negara.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu diperkukuhkan untuk memastikan kedua-dua entiti mempunyai kepakaran mencukupi, mengamalkan tadbir urus yang baik, terbuka kepada rundingan, telus serta menghormati undang-undang.

Mavcom turut menekankan CAAM perlu dijadikan pengawal selia bebas untuk menangani isu-isu berkaitan penarafan ke kategori dua oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dan untuk memaksimumkan keberkesanan peranannya.

Katanya, industri penerbangan awam hari ini menghadapi pelbagai cabaran termasuk kemalangan udara, penurunan penarafan CAAM, koronavirus selain tuduhan tindakan tingkah laku tidak wajar.

Bagaimanapun Mavcom berharap langkah sewajarnya diambil untuk mengembalikan negara ke kedudukan sebagai hab penerbangan yang dihormati.

Jelas Dr Nungsari, pihaknya juga menerbitkan laporan mengenai 'Kesan dan Implikasi Ekonomi Akibat daripada penurunan Penarafan CAAM' dan boleh diperolehi di laman sesawang www.mavcom.my.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook sebelum ini berkata, Mavcom masih boleh beroperasi secara berasingan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum penggabungannya dengan CAAM.

Jelas Anthony, ia akan mengambil masa beberapa bulan bagi kerajaan untuk memansuh dan meminda beberapa undang-undang, membincangkan tentang struktur dan bagaimana memindahkan peranan Mavcom kepada CAAM.