Kerajaan menafikan dakwaan pihak pembangkang kononnya ia akan menaikkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada 6 peratus kepada 10 peratus sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak pernah bercadang menaikkan kadar GST yang telah ditetapkan sebelum ini.

Najib mendakwa tuduhan tersebut dibuat oleh pemimpin parti pembangkang untuk memburuk-burukkan BN menjelang pilihan raya.

“Dalam mesyuarat sudah dibuat keputusan, antaranya menolak sekeras-kerasnya dakwaan pembangkang kononnya jika BN menang maka kadar GST akan dinaikkan.

“Ini satu pembohongan yang tiada asas sama sekali. Tidak ada dalam perbincangan sama ada peringkat (Kementerian) Kewangan dan menteri untuk naikkan kadar dalam sebarang keadaan.

“Taktik ini ditimbulkan untuk (membangkitkan) kemarahan rakyat. Harap rakyat tidak ditipu dengan cerita kepalsuan semata-mata dan rekaan semata-mata,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, pemimpin pembangkang dilaporkan mendakwa BN akan menaikkan kadar GST dari enam peratus kepada 10 peratus sekiranya mereka menang di Sarawak.

Dakwaan ini juga dijadikan sebagai antara bahan untuk mereka berkempen di negeri Bumi Kenyalang itu.