Pengeluar produk MommyHana merancang untuk menembusi pasaran ASEAN selepas produk 'Islamic Audio Device' yang dilancar syarikat itu pada sesi prajualan di laman sosial mengutip lebih RM1 juta dalam tempoh tidak sampai dua jam baru-baru ini.

Pengasas syarikat bumiputera, MommyHana, Hana Shahadan berkata, syarikatnya yang beroperasi sejak dua tahun lalu kini mengintai peluang pasaran di Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Kita juga merancang untuk memasuki pasaran Asia Barat seperti Dubai serta United Kingdom (UK) memandangkan sambutan yang luar biasa bagi produk 'Islamic Audio Device'.

"'Islamic Audio Device' atau lebih mudah difahami dengan al-Quran MommyHana adalah satu alat yang yang membantu dan melatih semua orang untuk mendengar alunan bacaan ayat suci al- Quran setiap hari.

"Alat yang tiada radiasi ini juga dilengkapi dengan bunyi yang menenangkan seperti alunan ombak, lullaby, white noise, mozart, lagu-lagu dari rancangan kanak-kanak, Omar & Hana dan juga lagu-lagu khas zikir MommyHana dendangan artis, Deja Moss," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

BACA: Prajualan al-Quran MommyHana RM1 juta kurang dua jam

Sebelum ini, prajualan Islamic Audio Device yang merangkumi bacaan al-Quran di Facebook Live mencecah RM1 juta dalam masa 1 jam 32 minit.

Sambutan itu mencatat rekod baru pihak yang menjalankan jualan atas talian dan sebelum ini terkenal dengan buku Islamik interaktif 'Ebookku by MommyHana'.

MommyHana yang baru dua tahun ditubuhkan juga mencatat jualan 'Ebookku by MommyHana' lebih dari 200,000 unit.

Dalam pada itu, kata Hana, majlis pelancaran produk 'Islamic Audio Device' disempurnakan baru-baru ini oleh pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden Persatu Pedagang ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Durian, Sinan Ismail dan Deja Moss.

Jelasnya, produk baharu itu dijangka menjadi gelombang besar terutama menjelang Ramadan yang bakal tiba.

Zikir-zikir dari Mommyhana juga adalah ringkas dan mudah diikuti, sesuai untuk melatih anak-anak supaya berzikir dari usia muda.

Mommyhana juga baru sahaja berkolaborasi dengan produksi animasi popular, Omar & Hana sebagai rakan korporat penajaan bagi tempoh 2019 dan 2020.

MommyHana kini mempunyai hampir 3,000 pengedar sah di Malaysia dan menyasarkan tiga kali ganda peningkatan pada tahun ini.

Mommyhana telah membantu 10,000 keluarga dan menyasarkan untuk membantu 1 juta keluarga dalam dan luar negara menjelang tahun 2022.