Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) lega pengukuhan Ringgit berbanding dolar AS sejak awal April memberi harapan besar tanda pemulihan ekonomi negara.

#WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, #WeMalaysia mempunyai cawangan di AS, Australia dan United Kingdom (UK).

Koordinator #WeMalaysia - Wilayah Timur AS, Anis Abd Razak berkata, ia bukti ekonomi negara kekal kukuh walaupun masih ada kebimbangan terhadap kegawatan ekonomi China dan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Kedudukan ekonomi negara menunjukkan perkembangan yang positif di mana nilai ringgit telah meningkat dari kadar RM4.40 bagi setiap satu dolar AS pada awal tahun ke RM3.88 bagi setiap sedolar pada awal April.

"Dengan kedudukan Ringgit yang semakin baik hasil usaha kerajaan termasuk semakan semula bajet negara pada awal tahun ini, komitmen kerajaan untuk memulih dan meningkatkan daya tahan ekonomi negara dijangka akan membuahkan hasil," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.

Anis berkata demikian ketika mengulas lawatan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis ke AS dan majlis minum petang bersama pelajar Malaysia di sana.

Pada awal April, Ringgit turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.8929/8022 daripada 2.9157/9215 dan naik berbanding yen kepada 3.4689/4788 daripada 3.5087/5159 sebelumnya.

Unit tempatan turut mengukuh berbanding euro kepada 4.4254/4376 daripada 4.4580/4667 dan meningkat berbanding pound Sterling kepada 5.6047/6214 daripada 5.6667/9776.

Pengukuhan Ringgit itu sekali gus mengatasi ramalan penganalisis-penganalisis ekonomi yang sebelum ini menjangka mata wang itu akan kekal melebihi RM4 sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu kata Anis, kenaikan nilai Ringgit juga banyak memberi kesan baik kepada pelajar-pelajar di AS.

"Keluarga di Malaysia tidak perlu lagi membelanjakan wang yang besar untuk mengirimkan wang belanja kepada anak-anak mereka.

"Selain itu tekanan terhadap pelajar juga berkurangan apabila mereka tidak perlu lagi bekerja sambilan secara berlebihan hanya untuk menampung perbelanjaan harian," jelasnya.

Pertemuan itu turut dihadiri antaranya pelajar Malaysia dari Kolej Komuniti NOVA, Universiti John Hopkins, Universiti Pennsylvania dan Universiti Drexel.