Kesedaran mengenai pengurusan harta pusaka masih kurang di kalangan rakyat Malaysia. Nilai harta pusaka yang tidak diuruskan kini mencecah berbilion ringgit.

Atas kesedaran itu, Amanah Raya Berhad dan Pos Malaysia Berhad mengadakan satu kerjasama strategik dalam mempermudahkan urusan permohonan Pentadbiran Harta Pusaka.

Kerjasama strategik ini bakal meluaskan akses di samping meningkatkan kesedaran akan kepentingan membuat pengurusan ke atas harta yang dimiliki.

Oleh yang demikian pengguna kini bukan sahaja boleh membuat pendaftaran di kesemua 17 cawangan Amanahraya di seluruh negara, pengguna juga boleh berbuat demikian di kesemua 596 cawangan Pejabat Pos Semenanjung Malaysia.

Menurut Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, keupayaan yang dipunyai Pos Malaysia mampu membantu untuk menembusi masyarakat di luar bandar untuk menjalankan urusan pentadbiran harta pusaka.

"Kami berharap agar pelanggan dapat menggunakan perkhidmatan ini dan kami mahu kesedaran untuk menguruskan harta pusaka meningkat di kalangan rakyat.

"Cawangan terbabit akan menjadi platform kepada pemohon untuk mendapat dan menyerahkan borang permohonan pengurusan harta yang sudah siap.

"Ini akan membantu pelanggan yang tidak mempunyak akses kepada pejabat Amanah Raya dan 19 cawangannya di seluruh negara," katanya pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Amanah Raya Berhad dan Pos Malaysia Berhad di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Menurut Reezal, perkhidmatan ini merupakan antara strategi yang digunakan dalam proses transformasi Pos Malaysia ke arah memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Ini merupakan tanggungjawab kami kepada negara dan diharap kerjasama ini akan dipergiat di masa depan," jelasnya.

Perkhidmatan ini mula dilaksanakan di kesemua Pejabat Pos bermula Khamis.

Pengguna yang berkenaan hanya perlu membawa salinan kad pengenalan dan juga salinan sijil kematian yang diakui untuk menjalankan proses permohonan pentadbiran harta pusaka.