Petronas telah menerima kolum proses pemecah propilena tertinggi dan terberat di Malaysia untuk kemudahan pemecah wap yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Pengerang, Johor.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd, Colin Wong Hee Huing berkata, pemecah itu telah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai kolum proses tertinggi dan terberat di Malaysia.

Kelengkapan canggih itu diterima pada 25 Jun.

Wong berkata, ia melengkapkan lagi pembangunan keseluruhan PIC yang dijangka memulakan operasi kilang penapisannya menjelang awal 2019.

PIC ialah sebuah pembangunan mega dan amat kompleks yang mengandungi 23 kilang memproses untuk kilang penapisan minyak, pemecah wap, petrokimia dan kemudahan berkaitan.

Projek itu kini memasuki fasa pembinaan dan ia berjalan mengikut jadual. "Kami yakin dapat menyiapkan pembangunan ini dalam tempoh yang agak pendek iaitu 52 bulan daripada tarikh kita mencapai keputusan pelaburan akhir pada April 2014," tambahnya.

Kolum proses itu diangkut kapal jumbo MV Fairmaster dari Dermaga Hyundai Mipo di Korea Selatan ke pelabuhan Kemudahan Pemunggahan Bahan di Tanjung Setapa, Johor.

Kapal itu juga membawa satu pemecah propilena dan satu pemecah etilena. Ketiga-tiga kolum proses iu adalah sebahagian daripada struktur utama kompleks pemecah wap PIC, yang akan dibangunkan oleh satu konsortium yang terdiri daripada Toyo Engineering Corporation dan Toyo Engineering & Construction Sdn Bhd.