Standard & Poor's Ratings Services (S&P) memberikan penarafan terbitan awal 'A-' kepada cadangan sijil amanah sukuk dalam nilai dolar AS yang akan diterbitkan oleh Malaysia Sukuk Global Bhd.

Malaysia Sukuk Global ialah entiti tujuan khas yang ditubuhkan untuk berfungsi sebagai perantara pembiayaan bagi kerajaan Malaysia.

S&P dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbit akan menandatangani perjanjian wakala dengan kerajaan Malaysia.

"Selain perjanjian wakala, penerbit akan memeterai perjanjian pembelian baucar," kata agensi penarafan itu.

S&P berkata penarafan bagi cadangan sijil amanah sukuk itu mencerminkan penarafan mata wang asing bagi Malaysia kerana urus niaga tersebut memenuhi lima syarat kriterianya bagi menaraf sukuk.

"Satu daripada kriteria ialah Malaysia akan menyediakan obligasi kontraktual yang mencukupi dan tepat pada masa bagi pembayaran amaun pengagihan berkala menerusi perjanjian wakala.

"Kriteria lain ialah di bawah perjanjian agensi, Malaysia akan bertanggungjawab untuk menampung semua kos berkaitan dengan urus niaga itu," kata S&P.