Tutup

Berita  | Bisnes

TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding aset - Laporan

TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding aset - Laporan
Menurut laporan Sunday Times, Tabung Haji kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017, menurut laporan Sunday Times.

Angka tersebut dipetik media Singapura itu melalui penyata kewangan TH bagi tahun 2016. Laporan itu mendakwa, jurang kekurangan ini mungkin lebih besar bagi tahun 2017, dan 2018.

Untuk tahun 2016, aset TH dinyatakn berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion.

Menurut TH, jumlah pendeposit mereka terdiri daripada sembilan juta rakyat Malaysia.
Akhbar mingguan Straits Times itu menyatakan, terdapat sumber dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa barisan pengurusan TH sebelum ini "memalsukan penyata kewangan tahun 2017 untuk membolehkan TH membuat bayaran dividen sebanyak 6.25 peratus pada bulan Februari 2018, iaitu hanya tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)."

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sebelum ini berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu penyelewangan, terutamanya jika ia melibatkan isu wang rakyat.
Sunday Times turut melaporkan bahawa disebabkan dakwaan penipuan ini, angka yang diumumkan sebagai untung bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM2.7 bilion.

Namun kadar keuntungan bagi tahun 2017 kini diragui.

Sehingga kini, TH masih belum mengeluarkan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun 2017, walaupun tinggal hanya tiga minggu lagi sebelum tahun 2019 menjelang.

Selain daripada itu, antara sebab lain kelewatan penyata kewangan tersebut diterbitkan adalah kerana barisan pengurusan tertinggi TH telah berubah susulan perubahan tampuk pemerintahan selepas PRU14.

Barisan lembaga pengarah TH sebelum ini, antaranya, terdiri daripada mereka yang rapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk Tan Sri Apandi Ali, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kesemua mereka telah meletak jawatan selepas PRU14.

Abdul Azeez, yang merupakan bekas pengerusi TH, kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa kes rasuah, termasuk berhubung TH.

BACA: SPRM: Azeez beri keterangan hampir 7 jam

BACA: Abdul Azeez, abang, bebas dengan jaminan SPRM RM1 juta

Jumaat lalu, pihak pengurusan baharu TH yang diketuai oleh Datuk Seri Zukri Samat telah membuat laporan polis terhadap Abdul Azeez dan dua bekas ketua pegawai eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Transparency International Malaysia tentang isu salah guna kuasa di Tabung Haji

Laporan polis itu turut menamakan empat lagi pengurus kanan TH, iaitu Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan, Penasihat Perundangan, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan polis itu melibatkan dua isu berbeza, iaitu satu kes berkenaan dengan Yayasan Tabung Haji yang melibatkan penggunaan RM22 juta untuk kegunaan politik, dan satu lagi kes berkenaan Ismee, Hazlina, dan Rafina yang didakwa menyembunyikan fakta penting tentang penjualan tanah oleh TH sebanyak 95 peratus di PT TH Indo Plantations pada tahun 2012 yang bernilai AS$910 juta (RM3.8 bilion).

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pernah membuat kenyataan tentang salah urus tadbir di TH, tetapi beliau dikritik hebat dan dituduh membuat fitnah.

Laporan Sunday Times turut menyatakan terdapat beberapa langkah dan usaha untuk mengembalikan urus tadbir baik TH. Aset TH merangkumi lebih 150 hartanah seluruh dunia dan juga memegang saham dalam lebih 100 syarikat tersenarai, termasuk Bank Islam Malaysia Berhad.





Tag: Rafizi Ramli, Pakatan Harapan, Tabung Haji, mahkamah, PRU, 2016, Islam, bank, Perdana Menteri, politik, kerajaan, jenayah, polis, Haji, Azeez, ismee, ismail, johan abdullah, hazlina khalid, rozaida omar, adi azuan, rifina ariff, apandi ali, irwan serigar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.