Tune Talk Sdn Bhd melantik Ameen Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa pada Isnin.

Tune Talk dalam satu kenyataan pada Isnin berkata sebelum pelantikan itu, Ameen merupakan CEO bagi RedOne dan Ketua Segmen Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) dan Migran di Celcom.

"Tune Talk telah menjadi penanda aras utama sebagai MVNO di rantau ini dan syarikat ini kini merupakan satu daripada yang paling kompetitif dalam industri.

"Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan pasukan untuk merealisasikan visi dan melangkaui sempadan perniagaan, untuk terus mencapai tahap yang lebih tinggi bagi syarikat," kata Ameen.

Tune Talk berkata Ameen akan memastikan syarikat itu kekal berada di landasan yang betul dalam mencapai matlamatnya menjadi ASEAN MVNO. – Bernama