Konglomerat UMW Holdings Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 32 peratus kepada RM454.4 juta bagi Tahun Kewangan 2019.

Dalam masa yang sama, pendapatan keseluruhan Kumpulan meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM11.8 bilion.

Manakala, keuntungan sebelum cukai keseluruhan Kumpulan meningkat sebanyak 18.6 peratus kepada RM741.2 juta.

Menurut kenyataan, peningkatan ini antara lain, disumbang pendapatan segmen Pembuatan dan Kejuruteraan yang meningkat 26 peratus.

Turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan keuntungan adalah perniagaan Aeroangkasa yang mula mencatatkan keuntungan pada 2019 selepas memulakan pengeluaran komersial pada akhir 2017.

Perolehan bagi segmen Jentera merosot sebanyak 8.5 peratus kepada RM1.408.2 billion, sementara untung sebelum cukai menurun kepada RM135.7 juta disebabkan oleh permintaan yang rendah.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Badrul Feisal Abdul Rahim, UMW menyedari bahawa ia mempunyai tanggungjawab kepada pemegang saham untuk mengoptimumkan pulangan daripada keadaan ekonomi semasa di samping mengekalkan sikap daya saing.

Dalam masa yang sama, UMW mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 2.0 sen sesaham berjumlah RM23.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Kumpulan UMW merupakan syarikat konglomerat yang memberi tumpuan kepada Automotif, Jentera dan Pembuatan & Kejuruteraan dan kini beroperasi di 8 buah negara.