Sepuluh lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu tentera rejim Israel pada awal Isnin, menjadikan angka korban di pihak Palestin kini meningkat kepada 1,822 orang, lapor pasukan perubatan Palestin.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata lima terbunuh di Jabalia, ke utara Gaza, tiga di kejiranan Zeitun dan Sheikh Radwan di bandar Gaza, seorang di Nuseirat di tengah Gaza dan seorang kanak-kanak terbunuh di bandar Rafah.

Tentera Israel dikatakan telah telah melancarkan serangan keatas 4,686 sasaran di Semenanjung Gaza sejak konflik itu bermula pada 8 Julai lalu.

Pada masa yang sama, 2,560 serangan roket dan mortar didakwa telah dilancarkan oleh pejuang Palestin ke arah Israel, kata jurucakap tentera Israel, dengan 556 daripadanya berjaya ditampan sistem pertahanan Iron Domenya.

Turut dilaporkan terbunuh dua orang awam Yahudi dan seorang buruh dari Thailand dengan 64 anggota tentera rejim disahkan terbunuh di pihak rejim.