Parlimen Mesir pada Khamis meluluskan usul melanjutkan had tempoh pemerintahan Presiden Abdel-Fattah el-Sissi sehingga 2034.

Ia merupakan sebahagian daripada pakej pindaan perlembagaan yang bakal memberi lebih kuasa politik kepada tentera.

Pada sesi undian, 485 daripada 596 menyokong pindaan berkenaan. Ini bermakna Abdel-Fattah ada 12 tahun lagi tempoh tambahan selepas penggal kedua berakhir pada 2022.

Menurut Speaker Parlimen Mesir Ali Abdel-Al, perkara itu kini diserahkan kepada jawatankuasa Perlembagaan dan Hal Ehwal Perundangan untuk dibincangkan selama 60 hari sebelum diserahkan kembali kepada parlimen bagi proses undian terakhir.

Ia disusuli pungutan suara yang mungkin diadakan sebelum awal Mei atau awal Ramadan.

Pindaan perlembagaan ini dianggap bukan mustahil kerana parlimen dan agensi kerajaan dipenuhi sekutu yang setia kepada Abdel-Fattah.

Jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat tempoh berkenaan menyamai tempoh pemerintahan empat presiden negara Uncle Sam itu.

Abdel-Fattah telah berada di tampuk kekuasaan selama hampir lima tahun selepas merampas kuasa daripada bekas presiden yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi.

Bagi pengkritik, perkembangan terbaharu ini dilihat sebagai mengukuhkan lagi dakwaan Mesir menuju ke arah pemerintahan kuku besi.

Kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch pula melihat pindaan berkenaan sebagai merendah-rendahkan kebebasan badan kehakiman, pada masa sama menambahkan lagi kuasa eksekutif yang telah dijadikan senjata bagi menekan rakyat Mesir yang tidak sealiran dengan kerajaan.

Dakwa kumpulan berkenaan lebih 15,000 orang awam termasuk kanak-kanak telah jadi mangsa undang-undang tentera di Mesir semenjak Abdel-Fattah melakukan rampasan kuasa.