Kerajaan Arab Saudi kini membenarkan wanita untuk memandu kereta bersendirian ke Bahrain tanpa perlu ditemani lelaki.

Perkara itu disuarakan oleh Duta Besar Saudi di Bahrain, Abdulmalik Al Sheikh dalam satu temu ramah dengan akhbar tempatan, lapor portal berita sputniknews.com

“Para wanita dari Saudi dan Bahrain kini mempunyai hak untuk memandu kereta seorang diri merentasi jalan King Fahd tanpa perlu ditemani oleh lelaki bermula pada 24 Jun ini," katanya.

Pada September lalu, Raja Saudi Salman bin Abdulaziz Al Saud telah menandatangani satu perintah undang-undang yang membolehkan wanita di Arab Saudi memandu kenderaan buat julung kalinya dalam sejarah negara itu.

Sebelum ini, Arab Saudi telah berulang kali berdepan dengan kritikan masyarakat antarabangsa seperti melanggar hak asasi manusia dan diskriminasi terhadap wanita.

Namun, situasi itu dilihat berubah sejak tahun 2013 sebaik sahaja mendiang Raja Saudi Raja Abdullah melantik 30 wanita sebagai ahli Dewan Syura iaitu ahli majlis penasihat tertinggi kerajaan itu.

Pada Januari, buat pertama kali kerajaan Arab Saudi membenarkan wanita di dalam negara itu menonton pertandingan bola sepak di stadium.

Pada tahun 2015, wanita di negara itu dibenarkan untuk memilih dan mencalonkan dirinya dalam pilihanraya bandar.