BILANGAN korban akibat letusan gunung berapi White Island di New Zealand meningkat kepada 19 orang apabila polis mengesahkan satu lagi kematian pada Isnin.

Angka yang maut itu termasuk dua mayat yang gagal ditemui.

Jurucakap polis berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa seorang mangsa telah meninggal dunia pada lewat Ahad di sebuah hospital di Auckland.

Terdapat 47 orang, majoritinya pelancong Australia, berada di White Island semasa gunung berapi di pulau itu meletus 9 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 25 lagi masih dirawat di hospital.

BACA: Angka kematian gunung berapi White Island melonjak 16 orang

BACA: Letusan gunung berapi White Island: 6 maut, 8 dipercayai tertimbus

Sehingga kini, masih ramai berada dalam keadaan kritikal akibat melecur teruk terkena percikan api gunung berapi.

Pencarian di laut untuk dua lagi individu yang hilang diteruskan, walaupun skalanya sudah dikurangkan.

BACA: Hanya seorang rakyat Malaysia terlibat dalam insiden letusan gunung berapi

BACA: Gunung berapi New Zealand meletus, 20 dikhuatiri cedera

Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Clement berkata, keluarga mangsa yang hilang itu memahami bahawa semakin hari berlalu, semakin tipis peluang untuk mayat ditemui.

White Island atau juga dikenali sebagai "Whakaari" adalah gunung berapi paling aktif di New Zealand.

Sejak tahun 1953, White Island menjadi lokasi tumpuan pelancong dan menarik kira-kira 10,000 orang ke New Zealand setiap tahun.