Angka korban akibat dua letupan besar di gudang kontena di pelabuhan Tianjin, China kini meningkat kepada 50 orang.

Agensi berita tempatan melaporkan sehingga lewat malam Khamis, lebih 700 mangsa dirawat di hospital, dengan 71 daripadanya dalam keadaan kritikal.

Puluhan anggota bomba yang bertugas memadam kebakaran besar itu pula kini dilaporkan hilang.

Letupan dipercayai berpunca dari sebuah gudang milik Tianjin Dongjian Port Rui Hai International Logistics Company, sebuah syarikat yang menyimpan dan membekal bahan kimia berbahaya.

Pihak berkuasa telah menahan beberapa eksekutif syarikat untuk siasatan lanjut.

GALERI FOTO: Letupan kuat gegar bandar pelabuhan Tianjin

Letupan memusnahkan hampir keseluruhan kawasan pelabuhan, bangunan utama, kontena, dan ribuan kenderaan baru yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

Menurut Pusat Gempa China, kedua-dua letupan menyamai letupan menggunakan 21 tan metrik bom atau gempa dengan magnitud 2.9.


Sementara itu, pihak berkuasa mengerah sepasukan 200 pakar pengendali bahan kimia tentera ke bandar Tianjin.

Pasukan berkenaan akan menguji udara di kawasan kejadian untuk menentukan punca kejadian.

Lebih 3,500 penduduk berdekatan terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan bagi mengelak risiko letupan susulan.