Bali melangsungkan upacara keagamaan sejak awal minggu lalu berikutan penularan COVID-19 dengan harapan agar wabak itu tidak mengancam sektor pelancongan Pulau Dewata itu.

Upacara keagamaan itu diadakan di sekitar kepulauan yang majoritinya penganut agama Hindu, selaras dengan Festival Galungan, sebuah festival yang meraikan kebaikan (dharma) dan menghindari keburukan (adharma).

“Kami mengharapkan epidemik COVID-19 berakhir secepat mungkin supaya semua boleh kembali dengan aktiviti seperti biasa sekali gus mengekalkan ekonomi Bali di peringkat kompetitif,” ujar seorang wakil keagamaan, Made Langgeng Buwana seperti yang dilaporkan portal berita Channel News Asia.

Ekonomi Bali yang bergantung besar kepada sektor pelancongan kini terkesan akibat penularan wabak COVID-19 yang telah bermula sejak bulan Disember tahun lalu.

Pemerintah Indonesia terpaksa membatalkan semua penerbangan dari dan ke China berkuatkuasa Februari dan perkara itu telah memberi kesan terhadap restoran, hotel dan agensi pelancongan di seluruh Bali.

Pelancong dari China merupakan kumpulan pelancong kedua terbesar buat republik tersebut selepas Australia.

Agensi pelancongan Bali mengharapkan pengaruh media sosial turut dapat membantu meningkatkan ekonomi Bali sepanjang tempoh sukar itu.

Pada Isnin, Presiden Indonesia Joko Widodo mengesahkan dua kes positif di negara itu, yang menjadi kes pertama sejak dua bulan wabak itu merebak.

Wabak yang bermula dari wilayah Hubei, China itu telah meragut lebih 3,000 nyawa dan menjangkiti hampir 90,000 orang seluruh dunia.