BANDAR Wuhan yang tercetusnya wabak koronavirus berubah wajah umpama bandar mati selepas kerajaan China mengeluarkan arahan kuarantin bagi membendung penularan wabak itu.

Bandar tersebut telah menjadi saksi kepada lebih 600 kes yang disahkan positif dan seramai 40 mangsa meninggal dunia.

Selepas tiga hari penularan virus baru itu, bandar Wuhan yang dahulunya dipenuhi dengan kenderaan dan kesibukan di pusat membeli belah, kini seolah-olah menjadi bandar yang sudah lama ditinggalkan.

Lebih menyayat hati, bandar yang mempunyai populasi 11 juta penduduk itu kini berubah menjadi sunyi sepi.

Segala barang keperluan di kedai runcit habis dijual sehingga kebanyakan rak di kedai-kedai telah kehabisan stok.

Bagaimanapun, sebuah rakaman video daripada Lin Wenhua yang merupakan salah seorang penduduk dari bandar tersebut memaparkan situasi di pejabat pos masih lagi beroperasi oleh kerana terpaksa menghantar barangan keperluan hospital.

Menurut seorang pekerja pejabat pos yang masih bertugas di situ selepas tiga hari perintah dikeluarkan, pihaknya masih perlu meneruskan tanggungjawab kerana pihak hospital memerlukan perkhidmatan penghantaran.

“Kami akan menghentikan perkhidmatan bermula esok. Kami beroperasi hari ini kerana kami perlu menghantar kelengkapan bantuan ke hospital,

“Jadi, kami sekarang sedang menunggu sehingga barang-barang ini dihantar keluar,” katanya sewaktu ditemu bual oleh Wenhua.

Video yang dirakamkan oleh Wenhua itu juga turut memaparkan keadaan di restoran yang sering menerima kunjungan warga di situ, tidak lagi penuh seperti sebelum ini.

Setakat ini, terdapat lebih daripada 2,000 kes yang disahkan positif koronavirus skeali gus memberi kebimbangan kepada orang ramai untuk keluar membeli topeng muka dan alat perlindungan lain.

Wuhan yang merupakan bandar ke-42 terbesar di dunia dan ketujuh terbesar di China, telah menghentikan segala sistem operasi pengangkutan awam termasuk kereta persendirian pada Ahad.

Dalam pada itu, sebuah hospital khas yang menempatkan 1,000 kelengkapan katil yang mula dibina pada Jumaat lalu dilaporkan siap pada awal Februari.

Antara kerajaan di dunia yang telah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk Malaysia, Taiwan, Macau, Hong Kong, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, Singapura, Nepal, Perancis Dan Australia.

[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!

BACA: Lelaki warga China mengamuk ketika ditahan di Senai

B
ACA:
AS, Jepun cadang pindahkan rakyat yang terperangkap di Wuhan