Pasukan mencari dan menyelamat telah menemui bangkai jet pejuang F-35 milik tentera Jepun yang terhempas di Lautan Pasifik di utara negara itu, namun juruterbangnya masih hilang, pihak berkuasa berkata pada Rabu.

Pesawat yang berusia kurang dari setahun itu merupakan pesawat F-35 pertama yang dipasang di Jepun dan terhempas 28 minit selepas ia berlepas pada Selasa, kata jurucakap Kementerian Pertahanan (ASDF) memetik laporan agensi berita Reuters.

Jelasnya jet pejuang ini berada pada kedudukan 135 kilometer timur Pangkalan Udara Misawa di Wilayah Aomori pada 7.27 malam (waktu tempatan) pada Selasa apabila ia hilang daripada alat pengesan radar.

"Kami telah menemui bangkai pesawat F-35 tersebut namun juruterbangnya masih hilang.

"Pesawat ini antara empat pesawat yang sedang menjalani latihan pada hari tersebut sebelum ia hilang," kata Menteri Pertahanan Takeshi Iwaya.

Ketika ini pihaknya sedang giat menjalankan siasatan untuk menentukan punca kejadian.

Angkatan Tentera Udara Jepun mempunyai 13 pesawat F-35 termasuk yang terhempas pada Selasa dan dipasang oleh Mitsubishi Heavy Industries di negara itu.