Gara-gara bimbang dijangkiti wabak Novel Koronavirus, penduduk di wilayah Hebei yang terletak di utara China dilaporkan bertindak mencampak keluar anjing dan kucing peliharaan mereka dari beberapa unit pangsapuri mereka.

Seekor anjing ditemui mati selepas dikatakan dicampakkan dari sebuah unit pangsapuri di Heyuan Guohe Garden di bandar Tianjin.

Media tempatan melaporkan kejadian berlaku sekitar 4 pagi sebelum haiwan berkenaan ditemukan jatuh di atas sebuah kereta.

Bagaimanapun, pemilik anjing itu masih gagal dikesan manakala pemilik kereta yang rosak dalam kejadian itu masih menunggu laporan untuk membuat tuntutan ganti rugi kerosakan kenderaannya.

Dalam pada itu, lima ekor kucing peliharaan turut menerima nasib sama di Shanghai selepas pemilik mereka gusar dijangkiti wabak berkenaan menerusi haiwan peliharaan.

Kejadian itu ekoran satu temu bual di stesen televisyen China Central bersama pakar, Dr. Li Lanjuan yang mendakwa jika haiwan peliharaan melakukan kontak secara terus dengan seorang suspek (dijangkiti wabak), haiwan itu wajar dikuarantin.

Tidak lama selepas itu, media tempatan merujuk kepada Zhibo China turut menyiarkan laporan bahawa ‘anjing dan kucing boleh menyebarkan koronavirus’.

Zhibo China kemudian memuat naik kenyataan itu ke aplikasi Weibo sekali gus mencetuskan situasi panik.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 250 nyawa

Dalam pada itu, akaun rasmi China Global Television Network di aplikasinya cuba untuk menafikan khabar angin berkenaan.

“Tiada sebarang bukti menunjukkan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing boleh sebarkan koronavirus.

"Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) dalam satu kenyataan menyeru agar orang ramai mencuci tangan menggunakan sabun dalam usaha mengekang kuman berpindah dari manusia ke haiwan,” katanya dalam satu muat naik di Weibo.

Sehingga kini wabak membunuh itu telah meragut lebih 250 nyawa dan menjangkiti lebih 12,000 mangsa.