BUKU kontroversi yang memuatkan dakwaan negatif berhubung tahun pertama White House di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump mula dijual pada Jumaat.

Di beberapa tempat, buku berkenaan habis dijual.

Buku "Fire and Fury: Inside the Trump White House" yang ditulis Michael Wolff berdasarkan petikan dari bekas pembantu kanan White House Steve Bannon, menggambarkan kekalutan pentadbiran presiden.

Ini termasuk dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden pada November 2016, serta cita-cita anak perempuan Trump, Ivanka mahu bertanding jawatan presiden.

Kandungan buku berkenaan jadi perbualan umum dan mendapat publisiti percuma, gara-gara tindakan peguam Trump cuba menghentikan penjualannya.

Peguam Trump sebelum ini menuntut penulis dan penerbit menggantung pengedaran buku berkenaan.

Bagaimanapun, penerbit Henry Holt memutuskan untuk menjual buku berkenaan lebih awal daripada dijadualkan pada Selasa, susulan permintaan luar jangka ini.

Petikan buku tersebut menyebut, Bannon menyifatkan anak Trump, Donald Trump Jr sebagai pengkhianat dan tidak patriotik, sementara Ivanka digambarkan sebagai terlalu bodoh.

Tetapi apa yang paling mendapat tumpuan adalah kandungan yang menyentuh Trump sendiri.

"Kegagalan White House berfungsi dengan baik dan kekacauan yang timbul tidak lain dan tidak bukan disumbangkan oleh tingkah laku Trump sendiri," tulis Wolff yang memetik kata-kata Bannon.

White House sebelum ini menyifatkan buku berkenaan sebagai memalukan dan satu jenaka.