Tutup

Berita  | Dunia

China didakwa pengaruhi ulama Indonesia berhubung Xinjiang

China didakwa pengaruhi ulama Indonesia berhubung Xinjiang
Pelajar di Institusi Islam Xinjiang ketika lawatan rasmi kerajaan berlangsung di Urumqi, Xinjiang pada 3 Januari 2019. Foto - REUTERS
TAHUN lepas menyaksikan para ulama di Indonesia membidas layanan China terhadap etnik minoriti beragama Islam.

Semestinya, negara yang mempunyai rakyat umat Islam terbesar di dunia itu ingin membela hak etnik minoriti susulan laporan dikeluarkan bahawa sekitar sejuta daripada mereka ditahan secara paksa di kem vokasional di Xinjiang.
Pada Disember 2018, pemimpin Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia, mengemukakan surat terbuka menuntut Beijing menjelaskan mengenai keganasan terhadap komuniti Uighur, kebanyakannya beragama Islam.

Namun, tahun ini pula menyaksikan pendirian pemimpin agama Indonesia itu berubah.
BACA: Tindas warga Islam Xinjiang: 'Panorama' dedah bukti, China tegas nafi



Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu, ia susulan beberapa inisiatif diambil Beijing untuk mempamerkan sikap terbuka mereka terhadap minoriti umat Islam di negara itu.

Antaranya termasuk langkah menjemput pemimpin agama teratas Indonesia serta pengamal media dan para akademik negara itu melawat pusat pendidikan dan latihan di Xinjiang.

Sebahagian daripada pengisian program lawatan yang ditaja Beijing itu termasuk pembentangan dibuat pihak berkuasa China yang mendakwa etnik Uighur bertanggungjawab atas serangan ekstremis.

Mereka turut menjemput pengunjung dari Indonesia itu untuk menunaikan solat di masjid-masjid di sana.

Susulan itu, salah seorang cendekiawan Muhammadiyah yang menyertai program tersebut memberi gambaran positif mengenai kem latihan di Xinjiang yang menurutnya amat baik, selesa dan tidak seperti penjara. 

BACA: Selesai isu ekstremisme di Xinjiang 'cara China'



“Terdapat masalah ekstremisme di Xinjiang dan mereka sedang menanganinya,” dakwa Masduki Baidlowi, pegawai Nadhlatul Ulama, organisasi Islam terbesar di Indonesia susulan lawatannya ke Xinjiang.

“Mereka memberi satu penyelesaian: kemahiran hidup serta sebuah kerjaya.”

Namun, beliau turut menyuarakan kebimbangannya, antaranya kerana tahanan tidak diberikan ruang untuk beribadah di kem tersebut.

BACA: Ozil kritik umat Islam abaikan etnik Uighur 

Susulan laporan dikeluarkan WSJ, Masduki menegaskan pihaknya tidak sewenang-wenangnya menjadi alat propaganda Beijing.

“Kami tidak akan pernah menjadi corong (suara) Barat, tidak akan pernah menjadi corong Amerika, juga tidak akan pernah menjadi corong pemerintah China,” tegas Masduki kepada portal berita tempatan, Republika, pada Jumaat.

Sebaliknya, Bayu Hermawan, seorang wartawan Republika yang turut mengikuti lawatan ke Xinjiang pada Februari melaporkan bahawa peserta-peserta kem tidak diberikan perbicaraan atau telah ditahan atas kesalahan seperti mengikuti amalan pemakanan Islam. 



Susulan itu, Bayu menerima mesej WhatsApp daripada kakitangan kedutaan China di Jakarta yang kecewa dengan laporannya kerana ia tidak fokus kepada aspek positif lawatan itu.

Republika turut mendakwa telah mengalami serangan siber pada ketika itu, menyebabkan laman web mereka sukar diakses dari luar negara.

Pada awal bulan ini, Shohrat Zakir, wakil pentadbiran kerajaan Xinjiang mendakwa semua yang dikatakan ditahan di kem tersebut merupakan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional dan telah lulus program mereka.

BACA: Dunia berbelah bahagi dalam mengkritik layanan etnik Uighur di China

BACA: 
Isteri etnik Uighur dipaksa sekatil dengan pegawai kerajaan?

Namun begitu, golongan aktivis mempersoalkan kebenaran di sebalik kenyataan itu kerana tiada perincian diberi, misalnya mengenai jumlah tahanan atau pelajar yang terlibat, jumlah kem latihan serta apa yang berlaku selepas mereka keluar.

“Tanpa sebarang maklumat berkenaan, amat sukar untuk mempercayai dakwaan mereka bahawa semua tahanan telah dibebaskan,” kata penyelidik di Human Rights Watch, Maya Wang.

“Sebelum ini, kerajaan sama sekali menafikan kewujudan kem-kem tersebut. Jadi, apa yang mereka dakwa sekarang sukar untuk dipercayai.”