ITALI merekodkan peningkatan angka kematian akibat COVID-19 yang tertinggi dalam tempoh satu hari dengan 793 lagi yang terkorban, menjadikan jumlah kumulatif 4,825.

Sejak Khamis, angka kematian di Itali sudah melebihi angka di China yang menyaksikan penularan koronavirus itu reda sejak perintah berkurung berkuat kuasa.

Pada masa sama, 6,557 kes baharu COVID-19 dicatatkan di negara itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah 53,578 iaitu peningkatan sebanyak 13.9 peratus dalam satu hari.

Menurut pihak berkuasa Itali, lebih 60 peratus daripada kematian baharu itu dikesan berlaku di Lombardy yang merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan jangkitan itu.

Peningkatan kes kematian dan jangkitan itu berlaku hampir dua minggu selepas Itali menguatkuasakan sekatan larangan keluar rumah serta beberapa langkah drastik lain yang diambil.

Sementara itu, 6,072 kes dilaporkan telah sembuh sepenuhnya manakala 2,857 pesakit berada di unit rawatan intensif (ICU).

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar Eropah kini menjadi pusat penyebaran COVID-19 susulan penularan kes semakin menurun di Hubei, China.

Ketahui data terkini COVID-19 di sini.