SEJAK bulan lalu, seluruh dunia telah dikejutkan dengan satu penularan koronavirus yang kini dinamakan sebagai COVID-19.

Sehingga kini, virus berkenaan telah melanda 30 buah negara dan lebih 60,000 kes positif jangkitan telah dicatatkan.

Antara negara yang sudah mencatatkan kes kematian ialah Jepun, Hong Kong, Filipina. Selebihnya ialah daripada negara yang merupakan lokasi di mana koronavirus ini mula tersebar iaitu China, yang sudah mencatatkan lebih 66,000 kes dan lebih 1,500 kematian.

Di sebalik ujian yang diterima oleh beberapa negara ini, ada yang bertanya, mengapa Indonesia masih belum mencatatkan sebarang kes COVID-19?

BACA: Harvard pelik Indonesia tiada kes COVID-19, Jakarta anggap sebagai penghinaan

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Ia seolah-olah tidak masuk akal kerana Indonesia merupakan negara yang mempunyai populasi keempat terbesar di dunia, dan menerima kunjungan hampir dua juta pelancong dari China tahun lepas.

Kemusykilan orang ramai ini telah mencetuskan kontroversi sehingga sebuah kajian telah dilakukan oleh Universiti Harvard yang mempersoalkan ketiadaan kes COVID-19 di negara paling ramai di Asia Tenggara itu.

Indonesia hanya ada kes suspek

Untuk rekod, Indonesia telah pun mempunyai suspek pertama koronavirus yang melibatkan seorang pelajar universiti dari Kepulauan Tanimbar, di wilayah Maluku.

Menurut laporan The Jakarta Post, suspek pertama itu berusia 19 tahun dan kini sedang berada dalam tempoh kuarantin sebaik menunjukkan simptom virus yang merebak dengan pantas itu.

Pelajar itu yang hanya ingin dikenali sebagai "BN", tiba di kota Ambon, Maluku pada 7 Februari dalam keadaan yang tidak sihat berikutan baru pulang dari Malaysia yang kini mempunyai 19 kes koronavirus dicatatkan.

Berdasarkan laporan Agensi Kesihatan Kepulauan Tanimbar, suspek kini ditahan di sebuah hospital awam dan menjadi suspek pertama koronavirus meskipun belum disahkan positif.

Terdapat juga persoalan di kalangan netizen yang mana terdapat kemungkinan negara itu tidak mempunyai peralatan mencukupi bagi mengesan virus berkenaan.

Namun, isu tersebut telah pun dijelaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa Indonesia sememangnya ada peralatan yang cukup untuk mengesan COVID-19 dan negara itu juga disahkan masih belum mencatatkan sebarang kes setakat ini.


Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan negara itu juga menegaskan bahawa negara itu bukan sahaja mempunyai alat pengesan yang mencukupi, malah mempunyai 100 buah hospital yang bersedia untuk menerima sebarang kes.

Bukan itu sahaja, terdapat 2,000 kit ujian dan makmal yang alat pengesan suhu badan di lapangan terbang serta diberikan kad pendaftaran kesihatan sebaik mendarat dan ia merupakan prosedur yang serupa seperti beberapa negara lain di seluruh dunia.

Sebelum ini, kerajaan Indonesia telah bertindak untuk mengkuarantin rakyat negara itu yang baru tiba dari Wuhan di Pulau Natuna pada 2 Februari lalu.

BACA: Koronavirus: Kuarantin di Pulau Natuna, rakyat Indonesia tunjuk perasaan

BACA: Jangan khuatir, koronavirus akan reda - Pakar

Keputusan mengasingkan rakyat republik itu di pulau berkenaan bagi mencegah penyebaran wabak koronavirus mengakibatkan kemarahan dalam kalangan penduduk.

Kerajaan Indonesia juga kini dilaporkan sentiasa mengambil langkah waspada dengan melakukan pemeriksaan terhadap premis hotel.

Ini kerana terdapat dakwaan sebelum ini yang melibatkan seorang warga China dikesan positif COVID-19 selepas melawat pulau peranginan popular Bali pada hujung bulan lalu.

Disebabkan itu, pulau Bali yang menjadi pintu masuk pelancongan utama Indonesia telah menerima melebihi 20,000 pembatalan hotel, menurut persatuan hotel dan restoran di negara itu.

BACA: Pesakit disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari Bali